rap

Zamri sangkal dakwaan Ady

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

PENGARAH urusan syarikat rakaman Dua Karya, Zamri Othman menyangkal dakwaan Ady, bekas penyanyi undangan kumpulan Ukays yang mengatakan dia tidak telus dalam kontrak perjanjian mereka.

Ady atau nama sebenarnya, Abdul Hadi Abdul Hamid, 22, sebelum ini membuat kenyataan tidak mendapat royalti sepadan dengan populariti lagu nyanyiannya bersama kumpulan Ukays berjudul I Love You, I Miss You yang sudah mencatat hampir 15 juta tontonan di YouTube.

Zamri, 40, berkata Ady mengikat kontrak sebagai artis Dua Karya selama dua tahun iaitu dari 13 Februari 2017 hingga 12 Februari lalu.

“Saya menjalinkan kerjasama dengan Ukays Records selepas Amy (ketua kumpulan Ukays) bersetuju untuk mengikuti syarat daripada Dua Karya.

"Seterusnya saya serahkan tugas promosi pada Amy kerana kerjasama ini sangat baik bagi strategi pemasaran, di mana membuat persembahan di satu pentas dan dapat mempromosikan lagu daripada album Ady dan lagu baru Ukays," katanya.

Menurutnya, selepas menilai kerjasama dengan Ukays Records, pihaknya membenarkan rakaman suara Ady dibuat dan pembayaran daripada pihak Amy Ukays dibuat mengikut terma tertentu.

"Ia merujuk kepada bayaran rakaman suara bagi empat lagu baru Ukays, Terpaksa Ku Lepaskan, Hanya Kasih, Ku Relakan Kau Pergi dan I Love You, I Miss You.

"Kami sudah mencapai kata sepakat dengan Ady, bahawa bayaran ini akan dipotong bagi melangsaikan hutang peribadinya kepada pihak syarikat.

"Berkenaan bayaran persembahan pula, sekiranya Ukays Records sudah membayar kepada Dua Karya, saya akan menyerahkan sebahagian peratusnya pada pihak Ady," katanya.

Katanya, dia juga masih mempunyai sifat peri kemanusiaan apabila tidak mengambil penuh bahagian untuk syarikatnya.

"Saya tak ikut kontrak, sebaliknya ambil kurang dan pernah juga tak potong langsung bahagian bayaran untuk Dua Karya kerana jumlah diterima agak rendah.

"Ia terjadi bila ada bayaran dari pihak Amy Ukays atau pihak lain yang undang Ady dengan harga begini.

"Ady juga mempertikai royalti untuk lagu I Love You, I Miss You sedangkan proses mendapatkan royalti bukan mengambil masa yang singkat kerana lagu ini baru saja tular dan perkara ini tak dijangka," katanya.

Zamri mengakui kesal dengan kenyataan Ady yang memperlihatkan seolah-olah pihaknya melakukan sesuatu perkara salah.

"Ia mencalarkan reputasi dan nama baik Dua Karya yang berdaftar dengan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) dan mendatangkan malu pada umum.

"Sepanjang bersama kami, Ady juga banyak melakukan tindakan membelakangkan syarikat seperti mempertikai kerja promosi yang dilakukan syarikat untuk singlenya.

"Sedangkan dia sebenarnya mendapat elaun promosi selama enam bulan dari syarikat. Dia juga ada buat persembahan tapi tak memaklumkan kepada syarikat," katanya.

Zamri berkata, Amy memaklumkan kepadanya, dia pernah diugut oleh Ady yang tidak mahu hadir menyanyi sekiranya membuat bayaran terus kepada Dua Karya.

"Untuk makluman, kos bagi single berjudul Pujaanku dan bonus trek Rintihanku menelan kos keseluruhan RM40,000 termasuk promosi.

"Bagaimana nasib saya untuk mendapatkan semula kos ini? Saya kesal dengan pelaburan yang sia-sia ini lalu pilih jalan lain dengan mengembangkan sayap Dua Karya ke Indonesia bersama rakan kongsi bernama Ririd.

"Saya amat kesal dengan kenyataan yang dibuat oleh pihak Ady tanpa bertanya dan berbincang terlebih dulu," katanya.

Kenyataan tidak benar Ady yang tular di media massa dan media sosial memberikan tamparan hebat buat Dua Karya yang menanggung malu selain imej mereka tercemar dalam kalangan penggiat industri muzik Malaysia dan peminat.

Berita berkaitan

Ukays hanya guna penyanyi undangan

Ady Real Band bukan Ady Ukays

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 3:07pm
d