rap

Jenazah ibu Mawi selamat dikebumikan [METROTV]

Oleh Mohd Sabran Md Sani

JENAZAH Ramlah Sarlan, 72, ibu kepada juara Akademi Fantasia 3 (AF3) Mawi atau Asmawi Ani, 38, yang meninggal dunia akibat sakit tua malam tadi selamat dikebumikan jam 11 pagi tadi.

Jenazah Ramlah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Bukit Taib Andak di Kulai dihadiri keluarga, penduduk kampung dan rakan.

Terdahulu, jenazah selesai dimandi dan Mawi mengimamkan solat jenazah di rumahnya di Teratak Bonda di tanah rancangan itu pada jam 10 pagi.

Arwah mengalami komplikasi beberapa penyakit termasuk jangkitan kuman pada paru-paru, dimasukkan ke hospital sejak Syawal kelima sebelum dibenarkan pulang tengah hari semalam atas permintaan sendiri.

Bacaan talkin disempurnakan Pengerusi Bumijaz Sdn Bhd, Mohd Zainal Khamis yang menguruskan syarikat pengurusan jenazah.

Mawi yang menyiram air mawar di pusara kelihatan tenang dan reda dengan pemergian ibu tercinta.

Pada 2006 Mawi kehilangan bapanya, Ani Ahmad, 66, akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN).

Berita berkaitan

Emak Mawi meninggal dunia

Disiarkan pada: June 20, 2019 @ 12:33pm
d