rap

Rakan artis dukacita pemergian Sulli

Oleh Ardini Sophia Sina

BERITA kematian bintang K-pop popular iaitu Choi Jin-ri atau Sulli, 25, memberi tamparan hebat buat beberapa rakan artis yang turut berdukacita atas pemergiannya.

Semalam, mayat Sulli juga bekas anggota kumpulan f(x), ditemui pengurusnya di rumah wanita itu di pinggir bandar Seoul, Korea Selatan.

Antara selebriti Korea yang meluahkan ucapan takziah antaranya ialah Hong Suk Chun, Mina, Ahn Jae Hun, Shin Hyun Joon, Goo Hye Sun serta Park Jimin, anggota kumpulan BTS.

Goo Hara yang juga rakan karib Sulli menerusi Instagram berharap supaya mendiang menemui ketenangan 'di sana' seperti dimahukannya.

Sementara itu, penyanyi Sunday atau Jin Bo-ra mengingatkan individu yang pernah menyakiti Sulli bahawa hidup umpama 'boomerang'.

"Saya juga sayangkan awak, Jin Ri. Ketika berada di Kondae, saya tidak dapat memberikan respons kerana terlalu malu.

"Maafkan saya kerana tidak sempat bawakan bingsu mangga untuk awak. Sampai kita jumpa lagi," katanya.

Pada jam 12.18 tengah hari tadi, agensi pengurusan artis, SM Entertainment mengumumkan upacara penghormatan terakhir buat Sulli khas bagi peminat diadakan secara berasingan dengan keluarganya.

"Keluarga Sulli yang sedang bersedih inginkan upacara pengebumian diadakan secara tertutup. Kami juga tidak akan mendedahkan sebarang maklumat mengenai prosedur berkenaan.

"Menunaikan permintaan keluarga Sulli, kami menyediakan tempat khas buat peminat yang ingin mengucapkan selamat tinggal buat kali terakhir untuknya," kata pihak SM Entertainment dalam satu kenyataan rasmi.

Polis dalam satu kenyataan berkata, artis itu menghidap ‘kemurungan teruk.’ Punca sebenar kematiannya masih disiasat.

Berita berkaitan

Bintang K-pop ditemui mati

Disiarkan pada: October 15, 2019 @ 5:14pm
d