rap

Kadak mohon maaf tak dapat tamatkan konsert

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

PEMAIN bass Butterfingers, Mohamed Fakharudin Bahar, 42, atau Kadak memohon maaf kerana tidak dapat menamatkan Konsert Ulangtahun ke-20 Butterfingers-Transcendence di Stadium Melawati, Shah Alam, Selangor, malam tadi.

Kadak berkata, sebaik lagu Tanah Pusaka dipersembahkan, dia mengalami masalah kesihatan menyebabkannya bergegas ke belakang pentas.

"Saya memohon maaf kepada peminat kerana tidak kembali meneruskan konsert itu. Perkara ini berlaku atas masalah kesihatan yang tidak dapat dielakkan," katanya menerusi video yang dikongsikan di Instagram (IG) miliknya, hari ini.

Menurutnya, kejadian itu berlaku ketika dia hanya perlu menamatkan baki dua atau tiga lagu sahaja lagi.

"Sewaktu berada di belakang pentas, saya bertemu pegawai perubatan untuk memeriksa tekanan darah dan jantung. Atas nasihat mereka, saya perlu dibawa ke Hospital Shah Alam untuk pemeriksaan rapi," katanya.

Katanya, dia bersyukur dibenarkan keluar hospital jam 5 pagi, hari ini dan keadaannya setakat ini terkawal.

Portal berita akhbar ini, awal pagi ini melaporkan konsert itu yang dihadiri 8,000 peminat terpaksa dihentikan seketika apabila Kadak mengalami sesak nafas.

Biarpun tanpa pemain bass, Butterfingers yang turut dianggotai Emmett (penyanyi), Loque (pemain gitar) dan Loko (dram) meneruskan persembahan bertenaga hingga tamat.

Menerusi konsert itu, Butterfingers membawakan 27 lagu yang pernah dirakam sepanjang 26 tahun bertapak dalam industri muzik tanah air.

Biarpun sudah berpecah, Butterfingers masih berkumpul dengan mengadakan persembahan bersama antaranya di acara Festival Muzik Rockaway pada 2016.

Berita berkaitan

Pemain bass Butterfingers sesak nafas

Disiarkan pada: November 3, 2019 @ 6:15pm
d