rap

Ibu risau Ika Mustafa dijangkiti Koronavirus

Oleh Syafil Syazwan Jefri

IBU kepada penyanyi Ika Mustafa, Khadijah Mohd Zin, 58, meluahkan kerisauannya menanti keputusan laporan kesihatan anaknya yang menunjukkan simptom-simptom dijangkiti wabak Koronavirus (2019-nCov).

Bagaimanapun, di sebalik kebimbangan itu naluri keibuannya sangat yakin bahawa anak kesayangannya bebas daripada jangkitan virus maut berkenaan.

"Sepatutnya, semalam pihak hospital sudah maklumkan mengenai laporan kesihatan Ika. Namun, berlaku sedikit kelewatan dan kami pun tak pasti, bila laporan itu akan dikeluarkan.

"Sejujurnya, saya rasa dia negatif (jangkitan). Namun, saya akui tetap berasa risau kerana kita tak tahu bagaimana virus itu merebak," katanya kepada Harian Metro.

Khadijah kini berada di rumah bersama ahli keluarga lain yang menunggu laporan keputusan itu daripada pihak hospital.

"Saya ada di rumah dan tak dibenarkan untuk masuk ke ruang rawatan di mana Ika ditempatkan kerana dia masih dikuarantin.

"Namun, saya ke hospital pun untuk menghantar barang keperluannya, tapi cuma di luar dan ada pengawal keselamatan yang ambil untuk dibawa kepada Ika," katanya.

Ditanya keadaan kesihatannya, Khadijah memaklumkan badannya juga berasa sedikit lemah.

"Saya rasa lemah dan badan jadi letih. Tapi, alhamdulillah, tidak ada tanda-tanda demam, selesema atau batuk. Ayah Ika pula dalam keadaan baik," katanya.

Sementara itu, Khadijah juga menyuarakan pendapatnya supaya pihak kerajaan menyekat kesemua penerbangan dari China dan ke China untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Warga emas yang berasal dari Wuhan, China, terbang dari Malaysia ke China dalam keadaan tidak sihat dan berada dalam pesawat yang sama dengan Ika. Kalau dia dijangkiti virus itu, ertinya, dia sudah mula menyebsrkannya di Malaysia sebelum pulang ke negara asal.

"Jadi, kita tak tahu sama ada dia sudah berjalan-jalan ke tempat awam di negara ini dan berkemungkinan besar virus itu sudah menular kepada orang lain.

"Justeru, kerajaan seharusnya menyekat penerbangan keluar masuk dari Malaysia ke China untuk mengurangkan risiko kerana kita tak tahu sama ada penumpang dalam pesawat yang keluar masuk itu, dalam keadaan sihat atau dijangkiti," katanya

Ika ketika dihubungi pula berkata, dia masih berdebar menanti keputusan daripada pihak hospital.

"Saya sangat gementar. Siapa yang tak risau kalau kita sendiri menantikan keputusan sama ada dalam badan sendiri ada virus bahaya itu atau tidak," katanya.

Ika terbang ke Haikou, China pada 25 Januari lalu bersama 46 warga negara itu dan dalam pesawat sama, ada warga emas berusia 60-an, dipercayai warga Wuhan yang tidak sihat.

Ika kembali ke tanah air pada hari yang sama dan mula menunjukkan simptom seperti demam, batuk dan selesema sebelum dibawa keluarganya ke klinik dan kemudiannya dirujuk ke Hospital Sungai Buloh (HSB) untuk dikuarantin.

  • Lagi berita berkaitan Koronavirus
  • Disiarkan pada: January 28, 2020 @ 7:08pm
    d