rap

Riot Fest tetap berlangsung April ini

Oleh Norhayati Nodin

DALAM keadaan penularan wabak Covid-19 kini, penganjuran karnival hiburan dikenali Riot Fest akan tetap diteruskan.

Penganjur, Bro Empire Entertainment mengesahkan tidak bercadang mahu menunda atau membatalkan acara itu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) merangkap pengarahnya, Syazwan Shamsudin berkata Riot Fest akan tetap berlangsung pada 4 April ini.

"Memang diakui negara kini berdepan situasi penularan Covid-19, tetapi mana tahu menjelang April nanti semuanya berakhir.

"Saya berdoa dan mengharapkan semoga keadaan kembali pulih. Doakan yang baik -baik sahaja.

"Apapun, sebagai penganjur kami akan tetap mengambil langkah keselamatan disarankan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk pengunjung yang hadir," katanya.

Mengulas banyak penganjuran konsert dibatalkan kerana penularan wabak Covid-19 itu, Syazwan tidak menafikannya.

"Saya tahu memang banyak konsert dibatalkan kerana Covid-19, tetapi untuk Riot Fest kami akan teruskan," katanya.

Ditanya juga sambutan jualan tiket, Syazwan berkata setakat ini sangat positif dan menggalakkan.

Apapun, Syazwan turut menolak dakwaan karnival Riot Fest tetap diteruskan kerana mahu mengaut keuntungan.

"Tujuan karnival Riot Fest dianjur untuk meraikan penggemar muzik terutama peminat kumpulan Bunkface dan Hujan.

"Dua kumpulan popular ini akan menghiburkan peminat mereka dalam persembahan selama tiga jam," katanya.

Syazwan ditemui pada sidang media sempena penganjuran karnival Riot Fest di Panggung Asia, Setor Gombak, baru-baru ini.

Karnival Riot Fest dianjurkan sehari dari siang sampai malam akan berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang.

Selain Hujan dan Bunkface, penyanyi lain turut membuat persembahan ialah Bittersweet, Plague of Happiness, Salam Muzik dan Aman Ra.

Tidak ketinggalan, ditampilkan juga Toko Kilat, Iqbal M, Gard Wuzgut, Operahaus, Fuze Band, Hacktick, Golden Mammoth dan Tarque Six.

Bagi orang ramai yang berminat menyaksikan persembahan konsert, harga tiket ialah RM50, RM70, RM90 dan RM150.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 21, 2020 @ 3:02pm
    d