rap

Amy restui Konsert Apologia Search & Awie

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

VOKALIS Search, Amy merestui tindakan rakan kumpulannya, Nasir menjayakan Konsert Apologia Search & Awie yang akan berlangsung di The Bee, Publika, Kuala Lumpur pada 28 Mac ini.

"Itu projek Nasir dan saya tidak dapat turut serta kerana sibuk dengan urusan keluarga serta perniagaan di Bandung, Indonesia.

"Projek mereka (Nasir) biarlah mereka teruskan. Saya akan sertai mereka juga tapi bukan sekarang.

"Mereka teruskan dulu sementara saya sibuk dengan perniagaan. Lagipun sebelum ini mereka (dengan Awie)pernah hasilkan projek album berjudul Bikin Wilayah," katanya ketika dihubungi.

Amy atau nama sebenar Suhaimi Abdul Rahman berkata dia berharap semoga konsert itu berjalan lancar seperti dirancang.

"Saya tiada masalah untuk bersama Search sekiranya ada projek yang saya peroleh harus dijayakan selepas ini.

"Kalau dalam kes ini, mereka kena beritahu saya awal-awal. Memang kadang-kadang ada show (persembahan) tapi kena tengok juga berapa lama dirancang.

"Kalau dalam masa yang singkat, memanglah susah. Sekurang-kurangnya kena ambil masa enam bulan dari peringkat awal. Ini baru kena dari segi perniagaan," katanya.

Menurut Amy, dia juga tidak suka terburu-buru kerana boleh menyebabkan berlaku masalah lain.

"Sebelum saya nak bagi komitmen, mestilah saya nak tengok persiapan penganjur terlebih dahulu.

"Berapa peruntukan yang dia sediakan dan sebagainya. Apabila tandatangan, segalanya dah cukup lengkap," katanya.

Amy menafikan soal pembayaran menjadi punca dia menolak untuk terbabit sama dalam konsert berkenaan.

"Saya tidak tahu apa-apa pun. Cuma, apa yang saya tahu mengenai konsert itu, pada tarikh ia berlangsung, saya memang sibuk dengan urusan lain," katanya.

Berita berkaitan

'Amy tak di ketepikan' - Nasir Search

Disiarkan pada: February 25, 2020 @ 9:38pm
d