rap

Covid-19 jejas sambutan Rock 4

Oleh Syafil Syazwan Jefri

PENGARAH dan penulis skrip filem Rock 4: Rockers Never Dai, Mamat Khalid tidak menolak sekiranya situasi penularan wabak Covid-19 sedikit sebanyak menjejaskan sambutan tayangan filem terbarunya.

Mamat berkata, ramai yang takut untuk keluar ke tempat-tempat awam kerana khuatir dengan penyebaran wabak maut itu.

"Saya sendiri belum menerima jumlah spesifik mengenai kutipan filem Rock 4: Rockers Never Dai yang masih lagi ditayangkan.

"Saya tak nafikan dengan keadaan penularan wabak Covid-19, sedikit sebanyak membuatkan orang takut untuk keluar berkunjung ke tempat awam," katanya kepada Harian Metro.

Mamat juga tidak menolak sekiranya situasi politik tanah air juga memberikan kesan.

"Selain masalah Covid-19, mungkin situasi politik tanah air juga membuatkan orang risau untuk keluar dari rumah memandangkan, ada beberapa kumpulan yang mengadakan tunjuk perasaan dan sebagainya.

"Saya sendiri pun terkejut apabila keluar dan melihat betapa lengangnya keadaan di pekan dan bandar. Jadi, tak mustahil dua situasi ini membuatkan orang ramai tak keluar," katanya.

Filem Rock 4: Rockers Never Dai mula ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 20 Februari lalu dan dibintangi pelakon seperti Sharwani, Hazama Azmi, Adam John, Nazimi Fahmi dan Bulan Terry.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 2, 2020 @ 9:23pm
    d