rap

A Aida tak kecewa filem rugi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENERBIT terkenal, Datuk A Aida tidak kecewa biarpun filem sulung terbitan syarikatnya, Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda sekadar mengutip RM716,800 sepanjang dua minggu ditayangkan.

A Aida, 50, berkata, dia menganggap itu adalah rezeki buat filem itu yang mana turut bersaing dengan filem luar negara.

“Ini saja rezeki yang Allah bagi. Saya reda. Syukur allhamdulillah. Disaat negara dilanda virus Covid-19 dan keadaan politik negara, masih ada juga yang sudi menonton filem ini.

“Apa pun, saya tidak tidak kecewa. Malah, ia memberi pembakar semangat kepada saya dan pasukan untuk terus berkarya.

“Saya nak ucapkan terima kasih kepada semua yang sudi menonton dan menyokong filem tempatan. Segala maklum balas saya terima dengan hati terbuka,” katanya kepada Harian Metro.

A Aida berkata, biarpun tidak mencapai sasaran kutipan, itu tidak bermakna dia akan berhenti daripada menghasilkan filem.

“Insya-Allah, kalau ada rezeki saya nak terbitkan filem lain pula. Cuma, bukan dalam masa terdekat. Sebab, keutamaan saya masih pada drama dan telefilem.

“Saya menjadikan filem ini sebagai hasil eksperimen. Biasalah adat berniaga, terutama dalam penerbitan filem memang sukar dijangka,” katanya.

Bagaimanapun, filem arahan Bade Azmi itu masih ditayangkan di beberapa pawagan TGV pada minggu hadapan.

Filem itu menampilkan Nadia Brian selaku watak utama dan beberapa pelakon lain seperti Amar Asyraf, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali dan ramai lagi.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 11, 2020 @ 2:04pm
    d