rap

Tayangan Escape ditunda

Oleh Norhayati Nordin

SITUASI penularan wabak Covid-19 di negara ini mendorong produksi penerbitan filem Escape mengambil langkah menunda tarikh tayangannya.

Filem arahan Ikhwansha Hazer yang dibintangi Kamal Adli, Elizabeth Tan dan Amar Asyraf itu sepatutnya mula ditayangkan pawagam pada 26 Mac ini.

Ikhwansha berkata bagaimanapun, tarikh tayangan baru untuk filem berkenaan akan diumumkan pihak produksi kelak.

"Alasan utama tarikh tayangan filem Escape terpaksa kami tunda memang berkaitan penularan Covid-19 yang melanda negara dan seluruh dunia ketika ini.

"Situasi yang berlaku itu, sangat memberi kesan kepada masyarakat. Apatah lagi, selepas diteliti, dikaji dan mendengar pandangan termasuk nasihat daripada beberapa pihak," katanya.

Ikhwansha berkata, dia dan pihak produksi mengucapkan terima kasih kepada media serta mereka yang banyak menyokong dan membantu untuk mempromosikan filem Escape ini.

Menurut Ikhwansha, menerusi laporan diterima daripada beberapa pihak pemamer tempatan (pawagam), mendapati berlaku penurunan ketara hampir 50 peratus jumlah penonton ke panggung sejak wabak Covid-19 mulai tular pada awal tahun ini.

"Situasi berlaku ini sekali gus memberi kesan kepada sambutan penonton terhadap filem tempatan dan antarabangsa.

"Kini, menjadi harapan saya dan produksi semoga penularan wabak Covid-19 di negara ini akan segera beransur pulih," katanya.

Filem Eacape adalah filem bergenre 'Cerebral Thriller', turut membariskan pelakon lain seperti Jue Aziz, Riz Amin, Zamarul Hisham, Pablo Amirul, Fiza Fukazawa dan Datuk Jalaluddin Hassan.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 12, 2020 @ 3:38pm
    d