rap

FFM31 & AME 2020 ditunda!

Oleh Najiy Jefri

DUA anugerah berprestij iaitu Festival Filem Malaysia Ke-31 (FFM31) dan Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME) ditangguhkan akibat penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), Datuk Hans Isaac berkata, tarikh penganjuran FFM31 yang dijadual berlangsung pada 9 dan 11 April ini terpaksa ditunda ke satu tarikh yang akan ditetapkan.

“Pindaan tarikh penganjuran ini adalah disebabkan peningkatan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan. Finas juga ingin memaklumkan bahawa lokasi malam perasmian FFM31 dikekalkan di Kuala Lumpur manakala lokasi malam anugerah FFM31 yang sepatutunya diadakan di Encore, Melaka ditukar ke lokasi lain di Lembah Klang.

“Finas akan mengadakan sidang media (esok) dan memohon maaf di atas sebarang kekhilafan daripada pihak penganjur,”katanya.

Sementara itu, Astro menerusi satu kenyataan memberitahu AME2020 yang dijadual berlangsung pada 12 April 2020 ini turut ditunda sejajar dengan pengumuman yang dibuat kerajaan.

Susulan penularan Covid-19 yang semakin serius di seluruh dunia serta sejajar dengan pengumuman yang dibuat pihak Kerajaan untuk menangguhkan sebarang perhimpunan termasuk mesyuarat antarabangsa, acara sukan, sosial dan keagamaan sehingga 30 April 2020, penganjuran AME2020 turut ditunda ke satu tarikh baharu yang akan dimaklumkan kelak.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha proaktif dan langkah berjaga-jaga yang diambil Astro untuk membendung penyebaran wabak itu bagi memastikan keselamatan kesemua pihak yang terbabit diutamakan.

“Pihak Astro kini dalam usaha menetapkan tarikh baharu untuk acara ini dan masih belum dapat berkongsi butiran lanjut kerana perlu mengambil kira situasi semasa Covid-19,’” katanya.

Dalam pada itu, sesi undian fasa kedua untuk mengundi senarai Top 5 bintang kegemaran yang telah dibuka sejak 3 Mac lalu akan diteruskan seperti biasa menerusi laman web rasmi AME 2020.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: March 16, 2020 @ 4:27pm
    d