rap

Jangan panik, barang cukup!

Oleh Najiy Jefri

PENERBIT dan pelakon terkenal, Datuk Rosyam Nor terpaksa menghadkan kemasukan pengunjung ke pasaraya miliknya, ST Rosyam Mart di Taman Setiawangsa berikutan menerima jumlah yang tinggi dalam satu masa.

Rosyam berkata, sebaik pengisytiharan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok sehingga 31 Mac yang dibuat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ramai mulai panik.

"Sebaik pengumuman dibuat Perdana Menteri, pasaraya mula dikunjungi orang ramai. Saya tahu semua jadi panik dan datang beramai-ramai.

"Saya harap kepada yang menunggu giliran untuk membeli barang keperluan di ST Rosyam Mart dapat bersabar kerana keadaan pasaraya agak padat.

"Kami terpaksa tahan orang di luar supaya semua dapat membeli barang. Kalau kita bagi semua masuk serentak, saya bimbang keadaan jadi tidak terkawal dan menyukarkan orang untuk membeli," katanya.

Menurut Rosyam, pasaraya miliknya yang dibuka 24 jam itu mempunyai jumlah stok barangan yang mencukupi dan meminta semua pihak bertenang.

"Saya mohon orang ramai untuk bersabar kerana stok barangan ada. Saya juga sudah berbincang dengan semua pembekal dan penghantaran barang juga masih diteruskan seperti biasa.

"Jadi, tiada apa yang perlu ditakutkan. Saya minta maaf apabila keadaan jadi begini (menghadkan kemasukan orang) supaya tidak padat," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan berkuat kuasa mulai 18 hingga 31 Mac di seluruh negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Pengumuman itu secara tidak langsung menyebabkan segelintir masyarakat mula membuat pembelian panik (panic buying) dan menyerbu pasaraya berdekatan bagi mendapatkan stok barangan asas.

Bagaimanapun, pasaraya, pasar awam, kedai runcit dan kedai serbaneka yang menjual barangan keperluan harian tidak tertakluk kepada larangan terbabit.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 17, 2020 @ 6:49pm
    d