rap

'Jom buat Pergerakan Sokongan Panik' - Harith Iskander

Oleh Georgie Joseph

BINTANG komedi Harith Iskander menyeru orang ramai supaya tidak pentingkan diri dalam situasi sekarang selepas Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan termasuklah dengan membuat pembelian panik.

Harith turut mencadangkan supaya masyarakat sebaliknya memulakan 'Pergerakan Sokongan Panik' dalam usaha membantu golongan tidak berkemampuan yang kehilangan sumber pendapatan disebabkan perintah itu.

“Saya ingin mencadangkan kita mulakan pergerakan yang dipanggil Sokongan Panik. Jadi, kenapa tidak kita panik untuk membantu orang lain pula terutama golongan tidak berkemampuan.

“Ayuhlah kita sesama menyokong golongan yang bergantung harap mencari pendapatan dengan kegiatan harian. Contohnya, wanita penjual nasi lemak yang tidak lagi dapat membuka gerainya dan tiada pendapatan harian.

“Kumpulkan rakan-rakan atau ahli keluarga kita dan beratur dengan panik di hadapan mereka untuk memberi bantuan misalnya dalam bentuk wang. Ini supaya mereka dapat ke pasaraya untuk barangan yang kamu belum rembat dari kedai,” katanya.

Harith juga menyelar tindakan segelintir individu yang nampaknya masih tidak faham bahaya menanti apabila lebih sibuk membeli-belah dan berkumpul ramai-ramai.

“Seperti kamu lihat di media sosial, berlaku pembelian panik oleh segelintir individu yang sangat tidak bertanggungjawab dan berpusu-pusu membanjiri pasaraya. Mereka bahkan memborong hampir semua barang di kedai.

“Kepada semua, situasi ini sangat tidak membantu. Sebaliknya ia menjadikan keadaan jadi lebih teruk di mana berkumpul ramai-ramai dalam sebuah kawasan pun mampu merebakkan virus itu,” katanya.

Cadangan itu dibuat Harith menerusi sebuah video berdurasi hampir dua minit yang dimuat naiknya dalam Instagram. Video berkenaan mendapat lebih 26,000 tontonan serta tanda suka lebih 2,000.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 18, 2020 @ 5:11pm
    d