rap

Patuh arahan, Nabila Huda tinggalkan penggambaran

Oleh Syafil Syazwan Jefri

ENGGAN mengambil risiko berikutan penularan wabak Covid-19, pelakon Nabila Huda membuat keputusan meninggalkan lokasi penggambaran telefilem Aku Ingin Ke Syurga di Kelantan dan pulang ke Kuala Lumpur, hari ini.

Nabila ketika dihubungi berkata, dia juga tidak mahu melanggar Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan, Selasa lalu.

"Kami baru saja menjalani penggambaran selama dua hari dan sepatutnya hari ini pun ada penggambaran. Saya cuba mendapatkan maklum balas daripada penerbit memandangkan pihak FDAM (Persatuan Pengarah Filem Malaysia) juga sudah keluarkan kenyataan supaya semua penggambaran dihentikan.

"Namun, usaha saya gagal apabila penerbit tidak memberikan maklum balas, sebaliknya meminta pengurus produksinya menghubungi saya. Apabila saya jelaskan mengenai situasi sekarang dan meminta penjelasan daripadanya, tiada jawapan diberikan sebaliknya dia mahu berbincang lagi," katanya kepada Harian Metro.

Justeru, Nabila membuat keputusan untuk pulang ke Kuala Lumpur dan pada masa sama bapanya yang juga penyanyi rock popular, Amy Search memintanya supaya segera pulang ke Kuala Lumpur.

"Papa menghubungi saya dan meluahkan rasa marahnya terhadap syarikat produksi itu apabila masih meneruskan penggambaran walaupun kerajaan sudah keluarkan kenyataan supaya menghentikan sebarang kerja penggambaran.

"Ibu tiri, Nourish juga awal-awal sudah menghubungi saya dan meminta saya untuk pulang bagi memastikan keselamatan dan kesihatan saya terjamin. Saya pula tak boleh nak tinggalkan penggambaran begitu saja memandangkan ada kru dan pelakon lain, jadi saya fikir semasak-masaknya sebelum buat keputusan," katanya.

Terdahulu, Amy menerusi Instagram Story turut menempelak syarikat produksi terbabit dengan mendakwa mereka melanggar Perintah Kawalan Pergerakan.

Dalam hantaran yang sama, Amy turut meminta pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan terhadap syarikat itu dan meminta Nabila segera pulang ke rumahnya.

Nabila berkata, dalam keadaan ini, dia menolak soal wang dan lebih mementingkan kesihatannya.

"Ini bukan soal wang atau apa, tetapi soal keselamatan. Kalau kita menjalani penggambaran di tempat awam, kita tak tahu jika ada dalam kalangan kru yang dijangkiti atau mungkin orang awam. Ketika menjalani penggambaran semalam, saya berlakon tak ikhlas kerana tak boleh fokus.

"Lagipun, kita sebagai selebriti sepatutnya menunjukkan contoh yang baik kepada masyarakat. Jika kerajaan sudah tetapkan perintah, kita sepatutnya menghormati pemerintah dan tidak bersikap keras kepala," katanya.

Selain Nabila, pelakon lain yang terbabit dalam telefilem terbitan Adtisha Productions Sdn Bhd itu ialah Fauzi Nawawi dan Riz Amin.

Kedua-duanya juga turut meninggalkan lokasi penggambaran dan pulang ke Kuala Lumpur.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 5:02pm
    d