rap

Artis menyeru orang ramai duduk rumah

Oleh Najiy Jefri

MEMASUKI hari kedua Perintah Kawalan Pergerakan yang dikuatkuasa sehingga 31 Mac ini akibat penularan wabak Covid-19, semakin ramai selebriti tempatan tampil memberi nasihat dan peringatan kepada rakyat negara ini.

Antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Datuk Awie, Datin Diana Danielle, Zul Huzaimy, Fikry Ibrahim dan Rozita Che Wan.

Memiliki jumlah pengikut yang ramai di media sosial, rata-rata mengambil peluang ini untuk membantu kerajaan dalam mengurangkan penularan wabak itu.

Penyanyi popular, Siti Nurhaliza berpesan kepada pengikutnya supaya tidak meninggalkan rumah dan menghindarkan diri daripada berinteraksi secara sosial bagi mengawal penularan Covid-19.

“Saya sayang anda. Tolong duduk di rumah dan luangkan masa bersama yang tersayang. #juststayathome,” katanya di Instagram Story, hari ini.

Bagi pelakon Datin Diana Danielle, dia menasihatkan orang ramai supaya mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan dan mengingatkan masyarakat tidak menggunakan tempoh dua minggu ditetapkan untuk pulang ke kampung halaman atau membawa keluarga bercuti.

“Jangan balik kampung, ini (Perintah Kawalan Pergerakan) bukan percutian. Golongan warga emas mempunyai tahap imunisasi paling lemah dan senang dijangkiti virus ini,” katanya.

Penyanyi rock dan pelakon popular, Datuk Awie turut tampil berkongsi video nasihat dan menyeru seluruh rakyat Malaysia agar mendengar nasihat kerajaan berhubung wabak Covid-19.

“Saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mendengar kata kerajaan dan pakar-pakar kesihatan dengan baik. Jangan keluar ke mana-mana untuk seketika waktu ini.

“Tumpukan perhatian terhadap penyelesaian masalah Covid-19 ini dahulu. Jangan bawa virus dan bertemu ibu bapa atau saudara-mara di kampung. Kita tidak tahu sama ada diri kita dijangkiti virus atau pun tidak. Jadi duduk setempat bagi meredakan keadaan. Biar kerajaan hapuskan atau tenangkan keadaan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Sementara itu, pelakon Zul Huzaimy pula menyeru kepada sahabat permotoran supaya mengambil serius mengenai wabak yang semakin berleluasa di negara ini.

“Ambil serius perkara ini. Saya merayu supaya kita semua sama-sama bantu kerajaan untuk tangani dengan bijak. Jangan pentingkan diri sendiri. Berhenti konvoi dan semua aktiviti luar. Duduk di rumah,” tulisnya.

Pelakon Fikry Ibrahim pula berkongsi video yang mengatakan wabak Covid-19 ini amat berbahaya dan sukar dikenal pasti.

“Setiap individu yang dijangkiti virus ini amat sukar dikenal pasti. Lebih malang lagi, ia mudah merebak sekiranya kita berada di kawasan yang membabitkan orang rama,” tulisnya.

Dalam pada itu, pelakon Rozita Che Wan turut berpesan supaya orang ramai duduk di rumah masing-masing bagi mengelakkan diri terkena jangkitan Covid-19.

“Tolong duduk di rumah. Satu saja nak pesan, elakkan terkena jangkitan Covid-19 ini sekarang. Sebab kalau kita kena sekarang, lagi 14 hari baru nak rasa kesannya. Waktu itu, hospital sudah penuh. Tiada tempat untuk kita lagi. Jadi berhati-hatilah,” katanya.

Tinjauan Harian Metro mendapati ramai artis tempatan sudah mula berkongsi maklumat dan menyatakan kebimbangan mengenai wabak terbabit.

Jika tidak dibendung kemungkinan negara bakal menghadapi gelombang ketiga virus ini yang seterusnya akan menjadi lebih besar seperti tsunami, lebih-lebih lagi jika mempunyai sikap tidak kisah.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 19, 2020 @ 5:28pm
    d