rap

Luqman Hafidz nikah ketika PKP

Oleh Syafil Syazwan Jefri

BERIKUTAN penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan oleh kerajaan, pelakon Luqman Hafidz melangsungkan majlis pernikahan secara tertutup, petang semalam.

Dalam majlis dihadiri kurang 10 orang itu, Luqman sah bergelar suami kepada Nurul Atiqah Mad Apandi, 29.

Luqman berkata, majlis pernikahan berlangsung secara ringkas dan mengikut garis panduan oleh pihak berkuasa sebagai langkah keselamatan terhadap penularan wabak Covid-19 ketika ini.

"Saya terlebih dahulu merujuk kepada Jabatan Agama dan mendapatkan kelulusan sebelum memutuskan untuk melangsungkan majlis pernikahan ini. Tak ada masalah untuk diteruskan asalkan kami mematuhi rukun asas dan tatacara yang ditetapkan.

"Untuk majlis semalam pun, ia diadakan secara tertutup dan membabitkan kurang dari 10 orang," katanya.

Menurut pelakon filem Ola Bola itu, dia lebih selesa untuk melangsungkan majlis itu secara sederhana.

"Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar dan majlis itu hanya dihadiri keluarga terdekat dan diadakan secara sederhana. Selagi kita boleh buat, kita buatlah sebab tak membabitkan ramai orang. Bagaimanapun, majlis persandingan yang sepatutnya dibuat semalam terpaksa ditunda akibat wabak ini,” katanya.

Dalam majlis yang berlangsung di Bandar Mahkota Cheras itu, mereka dinikahkan bapa pengantin perempuan, Mad Apandi Pisal.

Luqman memberikan lima dulang hantaran kepada keluarga Atiqah manakala pihak pengantin perempuan membalas dengan tujuh dulang dan jumlah wang hantaran dirahsiakan atas permintaan keluarga.

Luqman dan Atiqah menjalin hubungan cinta selama empat tahun.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 11:39am
    d