rap

Seru artis galak rakyat patuh PKP

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Datuk Fizz Fairuz mengajak semua artis memuat naik video mesej bagi mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak Covid-19 di laman sosial masing-masing.

Fizz atau nama sebenarnya Mohd Fairuz Zainal Abidin berkata, dia berharap semua artis yang menjadi ikon kepada orang ramai untuk sama-sama menyedarkan masyarakat mengenai bahaya wabak Covid-19.

“Sebagai selebriti, saya sarankan semua artis membuat video memberitahu masyarakat supaya beristiqamah, jangan keluar rumah, jaga diri dan jangan buat apa-apa aktiviti di luar.

“Malaysia ada ramai selebriti. Jadi kita minta selebriti yang menjadi ikon kepada rakyat Malaysia membuat video dan penuhkan ‘timeline’ di Instagram. Tak kisahlah artis popular atau tidak, ada pengikut berjuta atau tidak,” katanya.

Menurut Fizz, sebagai selebriti yang menjadi ikutan ramai peminat, apa salahnya untuk menyebarkan mesej positif ini.

“Sebagai ikon, artis perlu beri contoh yang baik. Apa yang kita buat dalam drama misalnya, semuanya peminat ikut. Kita berlakon pun mereka tonton. Jadi apa salahnya kita buat video kepada semua rakyat Malaysia supaya mereka ikut apa yang disarankan kerajaan,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: March 21, 2020 @ 4:58pm
    d