rap

Tonton Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini di rumah

Oleh Najiy Jefri

 

FILEM popular Indonesia, Nanti Kita Cerita Tentang Hari Ini (NKCTHI) yang sepatutnya menemui penonton di pawagam April ini dibawa terus ke rumah menerusi saluran Astro First bemula esok.

NKCTHI mencetus fenomena di Indonesia apabila berjaya meraih jumlah tontonan sebanyak 2.2 juta penonton sekali gus menjadi filem genre drama keluarga nombor satu terlaris di Indonesia.

Ketua, Naib Presiden Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, ketika rakyat Malaysia dinasihatkan untuk duduk di rumah bagi memutuskan rantaian Covid-19, Astro Shaw tidak teragak-agak untuk menyajikan penonton dengan mempersembahkan filem berkualiti.

“Kami bawakan secara eksklusif buat pertama kali filem yang masih belum ditayangkan di pawagam tempatan terus di pawagam rumah anda. Filem NKCTHI pada awalnya dijadualkan untuk ditayangkan di pawagam Malaysia bulan ini dan ia adalah filem yang sarat dengan mesej kekeluargaan dan sangat dekat dengan masyarakat di Malaysia,” katanya.

Jastina berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan memberi hikmah tersendiri apabila dapat menyatukan seluruh keluarga yang sebelum ini sibuk dengan kerjaya  masing-masing.

“Dalam situasi PKP sekarang, filem ini dapat membawa kita kenal lebih dekat dengan ahli keluarga. Mungkin sebelum ini kita terlalu sibuk dengan kerjaya masing-masing sehingga nilai kasih sayang antara keluarga itu kurang.

“Semoga dengan kehadiran filem ini, ia dapat mencambah kembali nilai kasih sayang di dalam sebuah keluarga dan penonton dapat terus kekal di rumah. Perjalanan cerita NKCTHI berkisarkan setiap ahli keluarga yang mempunyai karenah masing- masing. Watak yang penuh warna, emosi yang pelbagai dan juga impian yang berbeza-beza. Ini dapat dilihat melalui filem yang melihat kehidupan keluarga Narendra bersama tiga orang anak Angkasa, Aurora dan Awan,” katanya.

Filem ini menyaksikan gabungan kerjasama Astro Shaw bersama penerbit yang sering memenangi anugerah utama di Indonesia, Visinema Pictures yang juga penerbit filem animasi terkenal Indonesia, NUSSA bersama IDN Media, Blibli.com dan XRM Media.

Filem ini dibintangi pelakon filem Dua Garis Biru iaitu Rachel Amanda, Rio Dewanto (Gundala), Oka Antara (The Raid 2), Sheila Dara (Ratu Ilmu Hitam), Chicco Jerikho (Felosofi Kopi), Susan Bachtiar (Surat Kecil Untuk Tuhan), dan ramai lagi.

 

 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: April 22, 2020 @ 6:30pm
    d