rap

SIFU bantu golongan memerlukan

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERTUBUHAN Basmi Kelaparan atau Food For Hunger Organisation (F4H) dengan kerjasama MyFundAction mengambil inisiatif untuk membantu golongan yang tiada pendapatan tetap dengan mengedarkan Special Iftar For Ummah (SIFU) sepanjang Ramadan ini.

SIFU membekalkan satu set makanan yang mengandungi nasi berlauk, kurma, kuih, air kotak dan air mineral yang diperuntukkan untuk juadah berbuka puasa.

Pelakon yang juga Ikon MyFundAction, Nadzmi Adhwa berkata, dia bersama isteri, Ardell Aryana bangga apabila terbabit dalam projek itu.

"Saya dan Ardell sudah hampir dua tahun menjadi ikon. Kadang kami bergerak sendiri juga apatah lagi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan ramai yang mesej peribadi (DM) kami untuk minta bantuan.

"Alhamdulillah, setakat ini lebih 1,000 keluarga sudah dapat dibantu dengan memberikan makanan asas. Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar.

"Jadi, pada Ramadan ini diadakan pula projek SIFU dengan mengedarkan set iftar pada yang betul-betul memerlukan di kawasan yang teruk sepanjang PKP ini," katanya kepada Harian Metro.

Nadzmi mengambil kesempatan dengan mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberikan sumbangan.

"Terima kasih pada rakyat Malaysia yang sudi hulurkan bantuan dan dana. Dana mereka itu bertukar menjadi makanan dan diberikan kepada mereka yang memerlukan.

"Ramai juga bertanya dan cakap kami bantu luar negara saja. Tidak, sebenarnya banyak dalam negara juga. Cuma orang tak tahu saja," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyFundAction, Muhammad Afiq Mohmad Nazari berkata, SIFU sudah dilaksanakan oleh F4H sejak 2016 lalu.

"Ini tahun keempat SIFU dilaksanakan. Semalam, pasukan F4H dan MyFundAction pergi ke salah satu kawasan di Klang, Selangor untuk membuat agihan.

"Ia diedarkan kepada masyarakat miskin bandar yang juga golongan asnaf. Istimewanya edaran kali ini, ia diedarkan secara pandu lalu (drive thru) di Lorong Batu Nilam 5, Klang iaitu bagi mereka yang tinggal di rumah atas kedai.

"Selain itu, SIFU ini juga diagihkan di surau Flat Bukit Tinggi 1, Klang iaitu bagi golongan asnaf yang tinggal di flat tersebut," katanya.

Agihan SIFU yang dijalankan itu turut disertai Ikon MyFundAction lain seperi Hazeman Huzir serta beberapa selebriti lain seperti Awi Rafael, Jabir Meftah dan Syafi Tee DFKL 2019.

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 2, 2020 @ 3:07pm
    d