rap

Syukur sudah boleh 'shooting'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"KAMI setuju dengan syarat ini kerana penggambaran bukan hanya terikat kepada drama tapi turut membabitkan dokumentari, majalah TV dan penggunaan studio," kata pemilik syarikat produksi Mache All Star United Sdn Bhd, Arif Ab Rahman.

Kenyataan ini dikeluarkan berikutan pengumuman kerajaan yang membenarkan penggambaran dibuat mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Arif berkata, semua memahami penggambaran filem dan drama membabitkan ramai kru, namun berbeza dengan dokumentari yang hanya memerlukan sekitar enam kru.

"Kalau drama sekalipun, kita boleh ubah 'screenplay'. Contohnya, babak bergaduh. Kalau ikut skrip asal bergaduh secara berdepan, kita ubah kepada cara bergaduh menerusi telefon.

"Dalam bidang kreatif ini semuanya boleh diubah bergantung kepada kita sendiri. Kami ada banyak drama yang nak buat penggambaran.

"Paling terkesan adalah kru kerana tiada kerja tiada gaji. Apabila dilonggarkan kru dapat duit. Operasi boleh berjalan," katanya.

Terdahulu Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah mengumumkan kebenaran untuk penggiat industri perfileman meneruskan aktiviti mereka selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Bagaimanapun, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang medianya hari ini menjelaskan kebenaran hanya diberikan bermula akhir Jun dan perlu memenuhi tujuh syarat yang ditetapkan.

Penerbit Enuja Production Sdn Bhd, Zainuddin Mohd Ismail berkata, hampir tiga bulan produksi tidak bekerja dan mereka akur dengan syarat dikenakan.

"Kami ikut saja prosedur. Makan kena bungkus itu normal. Pengurus produksi akan buat jadual tugasan agar tak lebih 20 orang.

"Pengumuman ini pun dikira satu bonus yang ditunggu-tunggu. Kalau tak diberikan kebenaran, berapa bulan lagi nak tunggu?

"Bagaimana kami nak cari makan. Apapun saya akan akan bincang dengan stesen TV untuk teruskan projek yang tertangguh dengan ikut SOP yang ditetapkan," katanya.

Pengarah Bob Fitri berterima kasih terhadap semua persatuan seni yang bersatu hati membentangkan cadangan mereka kepada kerajaan sehingga kebenaran diberikan.

"Apa yang nak ditekankan, semua pihak kena ikut SOP. Mungkin kosnya agak tinggi kerana pihak syarikat kena keluarkan bajet untuk sanitizer dan kos-kos lain seperti ujian saringan.

"Saya akan bincang samada ia membabitkan situasi menang-menang atau mereka tanggung sepenuhnya," katanya.

Pelakon dan pengarah Datuk Seri Eizlan Yusof berkata, keputusan ini menghidupkan semula industri kreatif tanahair yang sebelumnya suram.

"Ia memberikan satu nafas baru yang tersekat sekian lama akibat daripada wabak Covid-19.

"Memandangkan kami bekerja secara kontrak, ia pastinya memberi satu impak positif kepada warga seni bagi meneruskan kelangsungan hidup.

"Kami berpeluang untuk menjana kembali pendapatan yang hilang selama tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sebelum ini," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: May 20, 2020 @ 10:21pm
    d