rap

Terkejut polis datang lokasi

Oleh Sudirman Mohd Tahir

KRU produksi dan pelakon yang terbabit dalam penggambaran drama Dayang Senandung terbitan Zeel Production Sdn Bhd di Damansara Heights, Kuala Lumpur semalam terkejut dengan kehadiran mengejut dua anggota polis.

Penerbitnya, Fadzil Teh berkata, kehadiran anggota polis itu bertujuan untuk memastikan pasukan produksi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan apabila aktiviti penggambaran dibenarkan sejak 10 Jun lalu.

"Terkejut juga tiba-tiba polis datang. Mungkin disebabkan penggambaran dibuat di kawasan elit, jadi kejiranan di situ menghubungi polis. Mujur kami ikut SOP ditetapkan seperti ada buku pemeriksaan, sanitasi tangan, kru memakai pelitup muka dan kurang 20 orang di lokasi. Jadi, tidak ada masalah timbul," katanya kepada Harian Metro.

Dalam masa sama, Fadzil memaklumkan pihaknya turut menyediakan seorang pegawai kesihatan bagi memantau tahap keselamatan semua pihak.

"Setiap pagi pegawai ini akan datang ke lokasi penggambaran. Semua kru termasuk pelakon akan disembur sanitasi termasuklah peralatan penggambaran, pakaian, peralatan mekap dan lokasi juga.

"Pegawai berkenaan juga akan memantau setiap masa dari awal hingga habis penggambaran. Setiap pagi dan sebelum balik kami diberikan penerangan.

"Pegawai juga akan menegur setiap kesalahan yang dibuat ketika penggambaran. Kami semua wajib memakai pelindung dan pelitup muka. Paling penting menjaga penjarakan sosial dan sentiasa menggunakan sanitasi tangan," katanya.

Fadzil berkata, pihaknya juga melakukan penjarakan sosial bagi babak pergaduhan.

"Babak ini memang agak susah juga nak buat sebab tak boleh bersentuhan. Tapi, kepakaran yang ada pada pengarah dan jurukamera perkara ini boleh direalisasikan.

"Pelakon juga sudah diberi penerangan apa yang patut dilakukan bagi menjayakan babak itu. Alhamdulillah, semuanya okay," katanya.

Drama Dayang Senandung arahan Chad menampilkan pelakon Wani Kayrie, Hun Haqeem, Rozita Che Wan, Shah Iskandar dan ramai lagi.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 17, 2020 @ 7:50pm
    d