rap

Sandra tetap dapat elaun penuh Big Stage 2020

Oleh Georgie Joseph

WALAUPUN penyanyi Sandra Dianne masih dalam keadaan kritikal dan koma selepas terbabit dalam kemalangan Sabtu lalu, dia masih bergelar peserta untuk program Big Stage 2020 yang memasuki minggu keempat, Ahad ini.

Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, walaupun penyertaan Sandra dikecualikan bermula minggu lalu sehingga tempoh diberitahu kelak, bayaran penuh elaun akan tetap diberikan kepadanya.

Bagaimanapun, Sandra tidak layak untuk pelan perlindungan insuran yang diambil ke atas semua program terbitan Astro kerana membabitkan pemegang polisi yang berada di dalam kawasan rakaman sahaja.

"Selaku penganjur, kami masih lagi menunggu status perkembangan terkini mengenai keadaan Sandra daripada pihak hospital sebelum membuat sebarang keputusan lanjut berhubung penyertaan beliau dalam pertandingan ini. Apa jua keputusan yang akan diambil selepas ini adalah bergantung kepada nasihat doktor dan pakar," katanya.

Emarina berkata, pihak Astro sangat bersimpati dengan nasib menimpa Sandra dan berharap penyanyi itu kembali sihat serta mendoakan keluarganya tabah dengan ujian berkenaan.

"Buat masa sekarang, fokus paling utama adalah untuk memastikan Sandra kembali sembuh kerana kesihatan beliau adalah lebih mustahak. Kami berharap agar Sandra dan keluarganya  tabah menghadapi dugaan ini. Kami juga memohon semua pihak dapat memberi masa dan ruang kepada mereka untuk bertenang sehingga keadaan lebih stabil," katanya.

Sabtu lalu, peserta program realiti Big Stage 3 itu terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya.

Dalam kejadian jam 2.30 petang itu, Sandra dan sepupunya dalam perjalanan ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) untuk latihan penuh konsert Big Stage.

Berita berkaitan

Ibu rayu telefon Sandra dipulangkan

'Padam foto kemalangan anak saya' -ibu Sandra

Kereta Sandra tiba-tiba brek mengejut

Sandra di ICU, dikecualikan dari Big Stage

Sandra Dianne kemalangan

Disiarkan pada: September 9, 2020 @ 4:57pm
d