rap

'Kehilangan anak yang menyayat hati' - Ibu Allahyarham Sandra

Oleh Sudirman Mohd Tahir

 

Kuala Lumpur: "Bye mama, jangan lupa tutup 'gate'."

Itu ungkapan terakhir Allahyarham penyanyi, Sandra Dianne, 26, kepada ibunya, Nor Syakinah pada Sabtu lalu sebelum arwah terbabit dalam kemalangan di Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (Elite) berhampiran Subang Jaya.

Nor Syakinah berkata, pada hari itu anaknya juga meminta baju putih lengan panjang untuk dibawa ke latihan penuh Big Stage 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

"Pagi sebelum dia ke latihan penuh, saya kejutkan untuk dia mandi sebelum air tiada. Selepas mandi dan bersiap, seperti biasa dia akan luangkan masa dulu bersama adiknya.

"Selepas itu dia salam saya dan ayah dia. Sewaktu keluar bilik dia patah balik dan tanya saya jika ada baju putih lengan panjang. Saya cakap tiada, cuma yang ada hanya inner warna putih. Dia cakap tidak apa. Saya macam tak puas hati, saya cari lagi baju putih di almari lain dan jumpa. Dia pun bawa baju itu. Ketika itu perasaan saya sudah lain.

"Sebelum dia keluar rumah, saya tunggu di ruang tamu dan berikan dia kata semangat untuk buat persembahan terbaik. Dia pun minta saya doakan untuknya. Selepas salam dan peluk cium, saya pesan untuk memandu berhati-hati.

"Ketika dalam kereta, dia sempat cakap 'bye mama, jangan lupa tutup 'gate'. Itulah perbualan terakhir kami," katanya kepada Harian Metro.

Sandra yang juga penyanyi lagu Hey Kau menghembuskan nafas terakhir di Hospital Putrajaya, pada jam 1 pagi, hari ini.

Menurut Nor Syakinah, jenazah sempat dimandi, kapan dan disembahyangkan di Hospital Putrajaya sebelum dibawa pulang ke kampung halaman di Kg Kauluan, Tuaran, Sabah untuk dikebumikan.

"Sebagai ibu mestilah sedih sebab kehilangan anak yang menyayat hati. Dia hilang sekelip mata.

"Alhamdulillah, segala urusan hari ini dipermudahkan Allah SWT. Semuanya lancar dari hospital sehinggalah tiba di Sabah petang tadi.

"Di hospital jenazah dimandi, dikapan dan disembahyangkan. Setibanya di kampung pun jenazah disembahyangkan sekali lagi," katanya.

Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kauluan kira-kira jam 6 petang tadi.

Berita berkaitan

Jenazah Sandra selamat dikebumikan dalam hujan renyai

Big Stage tiada minggu ini!

Air mata terakhir Sandra...

Jenazah Sandra dikebumi di Sabah

Sandra meninggal dunia

Kereta Sandra langgar tiga kereta

Ibu rayu telefon Sandra dipulangkan

'Padam foto kemalangan anak saya' -ibu Sandra

Kereta Sandra tiba-tiba brek mengejut

Sandra di ICU, dikecualikan dari Big Stage

Sandra Dianne kemalangan

Disiarkan pada: September 11, 2020 @ 7:02pm
d