rap

Ashira hilang kerja, diminta keluar rumah sewa

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Penyanyi, Ashira, 35, terpaksa berjauhan dengan anak lelakinya, Megat Shazril Haziq Hadi, 14, selepas mereka diarah keluar dari rumah akibat gagal menjelaskan tunggakan sewa selama enam bulan sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Ashira yang popular menerusi lagu Di Ombak Resah berkata, buat masa sekarang dia tinggal bersama kakaknya sementara anaknya duduk di rumah seorang lagi kakaknya, Sasha.

Ashira yang turut terpilih sebagai peserta Gegar Vaganza musim ketujuh (GV7) menyifatkan apa yang berlaku adalah dugaan buat dirinya.

"Selepas dimaklumkan terpilih dalam GV7, saya terus dilanda musibah apabila diarahkan keluar dari rumah sewa. Ini kerana, mula saja PKP, saya terus putus pendapatan. Sejak balik dari Abu Dhabi pada Ramadan tahun lalu, saya tidak ada band tetap menyanyi di sini. Saya hanya bekerja secara sambilan.

"Cuma, sebelum PKP sudah ada tawaran menyanyi selama enam bulan di China, tapi tak boleh ke sana. Makin lama duit simpanan berkurang. Saya pula ibu tunggal dan mempunyai seorang anak. Mana lagi saya perlu membayar segala komitmen. Jadi, duit simpanan makin kurang sebab tak ada kemasukan.

"Saya bayar sewa rumah, tapi semampu yang saya ada. Kadang-kadang RM100 dan kadang-kadang RM50. Tuan rumah okay, tapi cukup saja enam bulan saya kena keluar rumah. Semua yang terjadi secara tiba-tiba. Dalam pada saya dapat rezeki masuk GV, Allah bagi dugaan lain buat saya. Duit pindah rumah pun saya terpaksa pinjam dengan kakak. Sekarang saya menumpang di rumah kakak dan anak di rumah kakak lagi seorang. Jadi, kami terpaksa berpisah sekarang," katanya.

Ashira yang sudah lima tahun bergelar ibu tunggal berkata, sepanjang PKP dia turut menjual laksa bagi menampung pendapatannya.

"Pada Ramadan lalu, saya menjual laksa dan hantar di kedai bawah rumah selain menjual secara dalam talian. Ketika itu jualan okay, tapi apabila kerajaan membenarkan kedai makan dibuka, jualan pun perlahan.

"Kalau saya hantar 20 pek hanya dua pek saja laku. Jadi, ia membazir. Modal keluar, tapi untung tak ada dan duit pun tak ada. Adik minta saya cuba juga buat benda lain untuk pendapatan tambahan. Namun, bayar sewa rumah tetap tertunggak sebab ia masih tak mencukupi," katanya.

Selepas album kedua gagal di pasaran, AShira mengambil keputusan untuk menyanyi di kelab malam sekitar Kuala Lumpur sejak 2003.

Selain itu, Ashira juga mendapat kontrak menyanyi di kelab malam di luar negara seperti Abu Dhabi, Dubai dan Bahrain.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: September 24, 2020 @ 1:54pm
    d