rap

Pasrah dalam resah

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

"Sebelum ini pun sudah mula terasa kesan apabila pelanggan berkurangan sekali gus membuatkan pendapatan saya terjejas," kata Acid, 54, bekas pemain dram kumpulan Ekamatra yang kini bergerak sebagai buskers.

Selepas berhenti kerja di sebuah syarikat perumahan, Acid atau nama sebenarnya Mohd Rashib Ibrahim kini menghiburkan pelanggan di sebuah restoran di Damansara. Dia yang mula melakukan busking di situ sejak setahun lalu mengakui sedih dan kecewa tidak dapat mencari rezeki berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya semalam hingga 27 Oktober ini.

"Ini tempat saya cari rezeki secara tetap sama ada siang mahupun malam dan tiada tempat lain lagi. Pendapatan pula tak menentu kerana hari biasa hanya sederhana, manakala hari minggu dapatlah lebih. "Saya mampu meraih sekitar RM4,000 hingga RM5,000 dan selepas ditolak semua kos, dapatlah dijadikan sedikit simpanan," katanya kepada Rap.

Acid yang juga menghidap kanser tisu sarcoma (STC) bersyukur kerana hanya perlu menjalani rawatan sekali seminggu berbanding sebelumnya empat kali seminggu.

"Masalahnya pendapatan busker bukanlah tetap dan amat perit rasanya apabila diadakan PKPB pula. Saya reda tapi dalam reda terfikir benda ini berlaku kerana kelalaian segelintir kita.

"Sebelum ini keadaan sudah okay tapi kerana kes tertentu Covid-19 kembali menular. Saya terpaksa berjuang habis-habisan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu. Wang simpanan memang ada tapi terpaksa digunakan apabila ada kecemasan," katanya.

Menurutnya, golongan yang mencari rezeki secara harian memang terjejas.

"Selepas PKP makin ramai yang jadi buskers kerana kehilangan kerja. Mereka pilih busking di pusat beli-belah, restoran dan kini sekali lagi dilanda ujian.

"Saya harap PKPB ini tak berterusan. Kalau berterusan saya akan buat persembahan secara 'live' di Facebook dan mengharapkan sumbangan daripada peminat," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 6:20am
    d