rap

Program TV Media Prima Berhad berjalan seperti biasa

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Penerbitan program TV di bawah Rangkaian Televisyen Media Prima akan diteruskan seperti biasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mulai semalam hingga 27 Oktober ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima, Datuk Khairul Anwar Salleh berkata, pihaknya juga akan memastikan pematuhan SOP menjadi keutamaan untuk keselamatan semua pihak. 

"Untuk program yang berlangsung di dalam studio, jumlah kru bergantung kepada keluasan lokasi itu dan penjarakan fizikal juga akan dititikberatkan. Ketika program berlangsung, maksimum 10 orang sahaja akan dibenarkan berada di studio," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Khairul, sepanjang tempoh itu juga tidak ada program TV yang dibatal atau ditunda dan semua akan bersiaran seperti biasa. 

"Program berita akan bersiaran langsung seperti biasa, malah ada penambahan slot untuk siaran langsung liputan sidang media Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Tiada pembatalan untuk program bergenre bual bicara yang bersiaran langsung  seperti Malaysia Hari Ini, Wanita Hari Ini dan Borak Kopitiam. Bagi program realiti iaitu Vokal Mania, ia akan bersiaran langsung seperti dijadualkan pada 24 Oktober ini," katanya. 

Selain itu, semua program berkenaan juga tidak akan membabitkan penonton.

"Tiada penonton studio dibenarkan, kami hanya akan ada tetamu studio yang datang sebagai panel atau responden," katanya. 

Kakitangan bertugas akan ditugaskan untuk membantu tetamu bagi mengelak pergerakan secara bebas di dalam premis.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 15, 2020 @ 11:09am
    d