rap

'Rasa macam nak terjun' - Taufik Hanafi

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: "Bila berdiri di balkoni rumah dan tengok ke bawah, rasa macam nak terjun."

Itu perkongsian pelakon, Taufiq Hanafi mengenai pengalamannya ketika berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menurutnya, antara perkara paling membimbangkannya adalah kesihatan mental.

"Banyak perkara yang terkesan akibat pandemik Covid-19 dan apabila diumumkan PKP dan kini Perintah Kawasan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, saya bimbang dengan kesihatan mental saya.

"Saya tinggal sendirian dan apabila berkurung dalam rumah dalam satu tempoh agak lama seperti PKP lalu, tak ada sokongan untuk mental saya," katanya kepada Harian Metro.

Menurut bintang filem Paskal dan Pasal Kau ini, dia tidak tahu sekiranya itu adalah kemurungan atau apa. "Kalau nak cakap itu adalah kemurungan, saya sendiri tak pasti sebab saya tak pernah alami. Jadi, saya tak boleh nak jelaskan. Namun, apabila fikiran jadi seperti itu, saya cepat-cepat untuk ubah fikiran saya supaya dapat berfikir dengan lebih rasional. Saya anggap ini sebagai dugaan," katanya.

Ditanya mengenai kesan kepada kewangan, Taufiq bersyukur kerana dia masih lagi dikurniakan rezeki. "Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya masih mencukupi walaupun sepanjang PKP tempoh hari, banyak kerja-kerja dan tawaran yang dibatalkan.

"Mungkin kerana saya masih bujang dan tanggungan saya hanyalah untuk ibu bapa di kampung, jadi tak langsung, saya tak terasa sangat dari segi kewangan," katanya.

Dalam tempoh PKPB ini, Taufiq mengharapkan masyarakat terus menitikberatkan kesihatan mental.

"Akibat krisis ini, masyarakat yang terkesan. Ada yang kehilangan pekerjaan, hilang mata pencarian, tertekan dan kemurungan.

"Saya berharap agar krisis ini dapat tamat dan semuanya dapat dipulihkan untuk kesejahteraan kita semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 19, 2020 @ 12:53pm
    d