rap

Lan A To Z bimbang tawaran kerja dibatalkan akibat PKPB

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Kegembiraan penyanyi Lan A To Z , 51, yang kembali dapat mencari rezeki menerusi penyewaan sistem bunyi dan deejay pelbagai acara selepas tamat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu hanya bersifat sementara.

Lan atau nama sebenarnya Norazlan Abd Aziz kini berdepan hakikat kehilangan kerja semula apabila peningkatan mendadak kes Covid-19 ketika ini menyebabkan kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Sabah.

"Buat masa ini saya belum buat apa-apa tindakan dan nak berehat sekejap. Tak dinafikan perasaan terkejut pun ada kerana saya baru nak bermula kembali selepas beberapa bulan berehat. Ketika PKP yang bermula pada Mac, saya buat pelbagai kerja seperti mencari buluh lemang, menjual rebung dan kuih tiram. Alhamdulillah ada juga punca rezeki. Sepanjang bulan ini, sudah dua pihak membatalkan tempahan mereka. Bulan depan paling banyak tempahan dan saya berdoa supaya tidak dibatalkan," katanya kepada Harian Metro.

Ketika PKP, penyanyi yang mengecapi populariti menerusi lagu Darjat dan Itik Gembo-Gembo ini kehilangan pendapatan kira-kira RM15,000 apabila 20 tawaran kerja dibatalkan.

"Tak tahulah bagaimana situasi sekarang kerana nampak semakin buruk dan agak merisaukan saya. Ada lima tawaran kerja untuk November dan saya tak sanggup lagi berputih mata semula. Mujurlah isteri saya bekerja dan buat masa ini saya ambil tanggungjawab jaga anak yang bercuti sekolah buat sementara waktu. Sambil itu saya berfikir juga apa langkah selanjutnya akan dibuat. Buat masa ini saya berbelanja dengan wang simpanan yang ada," katanya.

Lan yang kini menetap di Bandar Sungai Buaya, Rawang meminta semua pihak supaya menjaga keselamatan selain mendoakan supaya pandemik Covid-19 segera berakhir.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: October 22, 2020 @ 5:09pm
    d