rap

93 peratus penggiat seni dan kru belakang tabir terjejas

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Sebanyak 93 peratus penggiat seni dan kru belakang tabir terjejas berikutan Covid-19 dan daripada jumlah itu, 70 peratus hampir atau hilang punca pendapatan sepenuhnya berdasarkan kaji selidik Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (Cendana), baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Cendana, Izan Satrina Mohd Sallehuddin berkata, pihaknya berbesar hati dengan pengumuman peruntukan RM15 juta menerusi Belanjawan 2021 sekali gus membuktikan keluhan warga seni dan kru balik tabir mendapat perhatian kerajaan bagi melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan.

Menurutnya, pengumuman berkenaan menggalakkan sektor seni, sekali gus menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap kepentingan seni dan budaya dalam kehidupan seharian.

"Kami berbesar hati sebanyak RM15 juta dana diperuntukkan untuk warga seni tahun depan. Ia pengumuman yang sedikit sebanyak dapat membantu sektor seni dan budaya, meskipun ketika berhadapan dengan krisis Covid-19. Peruntukan ini membuktikan komitmen kerajaan dalam mengutamakan sektor seni dan budaya dalam polisi kerajaan dan mengiktiraf wawasan yang terkandung dalam Wawasan Kemakmmuran Bersama 2030.

Menerusi Belanjawan 2021 yang dibentangkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz, dana RM15 juta diperuntukkan kepada Cendana bagi melaksanakan pelbagai program kesenian dan kebudayaan yang memberi memanfaat kepada lebih 5,000 warga penggiat seni serta kru balik tabir.

"Peruntukan itu memberikan kami keyakinan untuk menyalurkan bantuan dan sokongan kritikal kepada golongan seni dan budaya terutama dalam sektor seni persembahan, visual, muzik bebas dan kraf," katanya.

Izan berkata, ia berdasarkan rujukan di bawah usaha Pelan PENJANA untuk industri kreatif oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd yang membolehkan penggiat seni, pekerja budaya, kolektif dan organisasi seni sama ada dalam studio, pentas mahupun jalanan meneruskan operasi dan mencipta karya seni yang terbaik. Ia sekali gus memberi peluang kepada khalayak menikmati dan menghayati karya seni berkualiti.

"Kami ingin berterima kasih kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tengku Zafrul terhadap dedikasi dalam mengetengahkan keperluan sektor seni dan budaya. Kami juga berterima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dan MyCreative atas bimbingan yang diberikan," katanya.

MyCreative Ventures adalah syarikat pelaburan kerajaan untuk menggalakkan industri kreatif Malaysia menerusi pembiayaan strategik dan inovatif dalam bentuk pelaburan hutang atau ekuiti.

Ia ditubuhkan pada 2012 sebagai anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) yang melapor kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) dengan misi untuk meningkatkan daya tarikan industri kreatif Malaysia yang boleh diukur melalui jumlah pekerjaan yang diwujudkan; peningkatan pendapatan kasar daripada industri kreatif Malaysia untuk memberi sumbangan ketara kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dan menaikkan status industri kreatif Malaysia melalui kesedaran awam serta impak sosial.

Kumpulan MyCreative terus menyokong industri kreatif dengan memperkenalkan dua anak syarikatnya pada 2017 iaitu Cendana dan Riuh.

Cendana dilancarkan pada 6 September 2017 untuk membentuk ekonomi seni budaya yang megah, mampan dan bercita-cita tinggi, di samping meningkatkan profil seni budaya tanah air dalam membentuk identiti Malaysia sebagai destinasi seni yang strategik pada peringkat global.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 11, 2020 @ 7:10pm
    d