rap

Mustaqim Bahadon kena kompaun kerana tak ikut SOP

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur: Pelakon Mustaqim Bahadon dikenakan kompaun RM1,000 atas kesalahan tidak memakai pelitup muka di tempat awam di Wangsa Maju, di sini, kelmarin.

Mustaqim, 35, yang ketika itu berada di depan kedai gunting rambut miliknya akur apabila didkawa melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Dalam kejadian dalam jam 5 petang itu, saya berada beberapa langkah dari depan kedai untuk menghisap vape (rokok elektronik). Saya tak nak hisap di dalam sebab ada pelanggan. Saya pun gantung 'face mask' di beg pinggang. 

"Tidak sampai seminit, empat anggota polis dan penguatkuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) datang menghapiri saya dan minta kad pengenalan. Mereka terus keluarkan saman. Saya bertanya atas kesalahan apa dan diberitahu saya tidak memakai pelitup muka di kawasan awam. 

"Saya menjelaskan kenapa saya buka pelitup muka, tapi seperti dimaklumkan ia tetap kesalahan dan melanggar SOP kerana saya berada di tempat awam. Mereka kata, salah tetap salah. Jadi, saya pun mengakui salah dan berjanji tidak mengulangi lagi," katanya.

Mustaqim menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi SOP ditetapkan kerajaan dan jangan sesekali leka walaupun seminit terutama ketika berada di tempat awam.

"Walaupun saya tanggalkan sekejap, ia tetap satu kesalahan. Saya tidak mahu salahkan pihak berkuasa. Mungkin nasib saya tak baik tertangkap walaupun selama ini ikut SOP.

"Saya nak ingatkan kepada semua supaya jangan ambil mudah perkara ini sebab mungkin selama ini kita fikir tak salah walaupun berada seorang diri di luar dan tak bercampur, tak berkumpul, tapi kalau masih di tempat awam, masih tetap bersalah. Jangan jadi seperti saya. 

"Saya terfikir juga, macam mana dengan orang lain yang makan di restoran atau yang merokok di bawah pokok tapi masih di tempat awam. Jadi, berhati-hati semua," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 17, 2020 @ 4:24pm
    d