rap

Aina Abdul sedih SFMM 35 ditunda, tapi akur pasti ada hikmah

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi Aina Abdul yang sepatutnya membuat persembahan pada hari ketiga peringkat separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) malam ini mengakui berasa sedih, namun akur dengan keputusan penundaan yang dibuat pihak produksi.

Penundaan pada saat-saat akhir itu dibuat susulan penyanyi, Alif Satar yang juga peserta SFMM 35 pada hari pertama yang berlangsung pada Jumaat disahkan positif Covid-19 hari ini.

Aina yang bertanding menerusi lagu hasil ciptaan sepenuhnya berjudul Semalam, berkata walaupun segala persiapan sudah diatur dengan rapi namun dia percaya apa yang berlaku ada hikmah di sebaliknya.

"Memang sedih kerana segala persiapan sudah dilakukan oleh lima wakil daripada pasukan saya yang hanya menunggu untuk menyaksikan persembahan malam ini.

"Ketika dimaklumkan SFMM 35 dibatalkan, saya tak fikir fasal diri sendiri, tapi mengenangkan usaha dan kerja keras yang dibuat wakil pasukan saya, tapi saya anggap semua yang berlaku ada hikmahnya.

"Mungkin pembatalan ini, adalah untuk kita sama-sama beringat serta mahu membendung masalah besar yang mungkin akan berlaku kalau ia diteruskan," katanya.

Menurut Aina, dia enggan berfikiran negatif sebaliknya melihat penundaan SFMM 35 sebagai jalan terbaik.

"Kita fikir yang baik-baik saja. Insha-Allah kami semua akan buat ujian saringan Covid-19 dan diharapkan semuanya berjalan lancar.

"Doakan hari ketiga SFMM 35 dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 22, 2020 @ 9:22pm
    d