rap

Amira pilih kuarantin diri

Oleh Najiy Jefri

Biarpun dirinya bukan individu yang disenarai sebagai kontak rapat kepada penyanyi Alif Satar yang positif Covid-19 Ahad lalu, namun penyanyi dan pelakon Amira Othman memilih untuk menjalani kuarantin.

Amira turut terbabit dalam saingan separuh akhir Muzik-Muzik ke-35 (SFMM35) episod kedua, Sabtu lalu.

Amira atau nama sebenarnya, Nadia Amira Othman, 27, berkata, dia juga membuat keputusan untuk membatalkan pembabitannya dalam penggambaran bersama sebuah syarikat produksi.

"Sepatutnya saya ada penggambaran dengan sebuah syarikat produksi, tapi atas kebaikan bersama saya terpaksa lepaskan kerja ni. Walaupun saya tak ada kontak rapat dengan abang Alif, tapi saya rasa bertanggungjawab sebagai orang yang sama-sama kena kuarantin," katanya.

Menurut Amira, dalam situasi sekarang, apa yang lebih penting adalah kesihatan dan nyawa.

"Duit boleh cari, kesihatan dan nyawa kita ini Allah beri kenalah jaga elok-elok. Jadi, pastikan anda semua menjaga diri. Jangan salam-salam atau peluk-peluk bagi yang perempuan," katanya.

Dalam pada itu, Amira menyifatkan kerjasama dengan Sufian Suhaimi menerusi lagu duet Takkan Berubah sesuatu yang istimewa dan pengalaman menarik.

Amira berkata, kali pertama bekerja dengan komposer lain membuka ruang baharu untuknya dalam berkarya.

"Sebenarnya, pada awalnya pihak pengurusan saya memaklumkan lagu duet ini dengan artis perempuan. Tiba-tiba ada pertukaran dan digantikan dengan Sufian. Walaupun ini kerjasama pertama kami, tapi masing-masing sudah kenal lama sebab pernah jumpa di banyak acara, tapi tidak pernah ada lagu bersama. Pendek kata, ia menjadi mudah," katanya.

Sementara itu, dalam satu hantaran di Instagram, syarikat pengurusannya, Rocketfuel Entertainment turut memaklumkan semua artis naungan mereka yang terbabit dalam program hiburan yang disertai Alif baru-baru ini disahkan negatif selepas membuat ujian saringan.

"Walaupun tidak diharuskan menjalani proses kuarantin, pihak Rocketfuel akan sentiasa memantau perkembangan semasa artis kami," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: November 26, 2020 @ 6:35am
    d