rap

Kalau boleh buat penggambaran di negeri tidak dilaksana PKP

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Kuala Lumpur: Bimbang tidak dapat menyiapkan drama untuk tayangan Ramadan nanti, syarikat produksi yang menerbitkan drama Yang Bakal Mati Ramadan Ini bercadang meneruskan penggambaran di negeri yang tidak dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengarahnya, Eoon Shuhaini berkata, dia sudah mengadakan perbincangan dengan penerbit, Pencil Pictures & Records dan mereka kini berurusan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi mendapatkan kebenaran perjalanan merentas negeri dan melakukan penggambaran.

"Kami sedang menyiapkan drama 22 episod ini dan takut penggambaran akan tergendala, jadi perancangan lain perlu dibuat," katanya.

Menurutnya, ada beberapa lokasi yang belum dibuat penggambaran seperti babak di kampung akan ditukar ke lokasi lain.

"Kalau ikut skrip, awalnya memang nak dibuat di Kedah. Namun, disebabkan takut untuk keluar ke Kedah, kami bercadang untuk membuat penggambaran di Selangor pula.

"Bagaimanapun apabila PKP dikuatkuasakan semula bermula semalam, kami berbincang nak buat penggambaran di negeri yang tidak dilaksanakan PKP seperti Negeri Sembilan atau Perak.

Eoon berkata, segala perancangan tertakluk kepada kelulusan dan mereka akur jika tetap tidak dibenarkan menjalani penggambaran.

Sementara itu, pelakon Jasmin Suraya Chin berkata, dia kini berehat seketika dari penggambaran drama 26 episod berjudul PA Lelaki Kerek arahan Haris Kadir.

"Penggambaran dibuat sekitar Kuala Lumpur dan sekarang memang tak dapat nak buatlah. Ikutkan selepas habis penggambaran drama ini, saya akan terbabit dengan drama terbitan JS Pictures. Namun, tak pastilah dapat buat lagi kerana penangguhan penggambaran buat jadual saya bercanggah. Banyak sebenarnya urusan yang terganggu.

"Saya juga mula ada perancangan lain seperti bekerjasama dengan pengiklan untuk hasilkan iklan komersial jenama mereka," katanya.

Menurutnya, apabila diumumkan PKP, semuanya termasuk menangguhkan dulu rancangan ini kerana tidak pasti apa yang akan berlaku selanjutnya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 7:57am
    d