rap

'Boleh shooting tapi…' – FDAM

Oleh Georgie Joseph

Kuala Lumpur: Syarikat produksi dibenarkan membuat penggambaran di negeri yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula semalam hingga 26 Januari ini tetapi perlu melakukannya di lokasi tertutup.

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Ahmad Ibrahim berkata, pihaknya sudah mendapat pencerahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) berhubung perkara itu. 

"Penggambaran di kawasan PKP memang tidak dibenarkan, tetapi dibolehkan dengan bersyarat iaitu melakukannya di kawasan tertutup seperti dalam studio, dalam rumah dan tempat tertutup yang lain.

"Syarikat produksi juga boleh membuat penggambaran di kawasan-kawasan yang bukan PKP dan merentas negeri dengan syarat mesti mempunyai dokumen-dokumen seperti Surat Perakuan Penggambaran (SPP), surat pengesahan kesihatan, surat daripada penerbit menyatakan artis membuat penggambaran, surat pergi balik dua-hala berserta butiran tarikh penggambaran. Satu surat hanya untuk nama seorang sahaja.

"Ini termasuk surat pengesahan dan kebenaran daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk merentas negeri atau daerah," katanya.

Isnin lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan PKP akan dilaksanakan bermula semalam hingga 26 Januari ini bagi menangani jumlah kes positif Covid-19 yang semakin meningkat. 

Enam negeri yang menjalani PKP adalah Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Pulau Pinang, Johor, Sabah dan Melaka. 

Selain itu, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan manakala Perlis dan Sarawak pula berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). 

Ahmad atau lebih dikenali sebagai Mat London berkata, penetapan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat juga harus dilaksanakan syarikat produksi setiap kali berada di lokasi penggambaran.

"Dari segi SOP, ketika berada dalam lokasi, kita tidak boleh membenarkan orang luar datang. Harus diingatkan kepada pelakon dan produksi, jangan sekali-kali berinteraksi dengan orang tidak dikenali di luar sana.

"Panduan penggambaran daripada MKN juga sudah diberikan. Tata cara datang ke set penggambaran, bacaan suhu wajib diambil, sentiasa jaga penjarakan fizikal, pakai pelitup muka dan kerap membasuh tangan.

"Makanan harus dibungkus, gunakan cawan minuman pakai buang, jurumekap harus menggunakan segala peralatan keselamatan termasuk sarung tangan, pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal. Selesai penggambaran, kena terus pulang ke rumah," katanya.

Ahmad juga menegaskan pengarah dan pengurus produksi adalah individu yang bertanggungjawab terhadap sebarang risiko produksi. 

"Pengarah sebagai ketua yang sentiasa mengawasi, melihat, mendengar, memantau dan menggalas tanggungjawab sebaik yang boleh. Kepada pengurus produksi, lakukanlah tanggungjawab terbaik, sentiasa peka, mengawasi dan melantik seseorang kakitangan untuk menjaga bab keselamatan dan nasihat sesiapa yang terlalai mengenai penjarakan fizikal," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 14, 2021 @ 12:24pm
    d