rap

Penganjur konsert beralih angin

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Krisis pandemik Covid-19 yang melanda dunia memberi kesan kepada industri seni tanah air. Tidak hanya terhad kepada selebriti, kesannya turut dirasakan penganjur acara langsung.

Jika kita lihat semula ekosistem industri seni tanah air, acara langsung turut menjadi penyumbang kepada kelangsungan industri untuk 'bernafas'.

Namun selepas dunia 'dihentam' badai Covid-19, industri acara langsung menjadi industri yang dipandang sepi dan tidak mampu kembali digerakkan.

Bagi Penerbit Eksekutif Shiraz Projects, Shirazdeen Karim yang menjadi antara penganjur acara besar seperti konsert artis di dalam dan luar negara serta pelbagai acara bertaraf antarabangsa, pandemik ini umpama dugaan besar buat mereka.

"Dah setahun kami tak ada pendapatan. Apa yang berlaku memberi kesan kepada industri acara langsung," katanya.

Berkongsi mengenai alternatif yang dilakukan, Shirazdeen berkata, situasi sekarang memaksanya untuk menukar bidang.

"Kali terakhir kami menganjurkan konsert adalah pada 4 Januari tahun lalu. Saya perlu fikirkan bagaimana untuk kekalkan kelangsungan hidup dalam tempoh sekarang.

"Jadi, saya sendiri pun terpaksa bertukar bidang daripada penganjuran dan pengurusan acara langsung kepada bidang pembinaan," katanya.

Menurutnya, kini dia perlu menggunakan pengetahuan dan peng

alamannya dalam bidang pembinaan untuk diguna pakai bagi tempoh kemelut sekarang.

"Walaupun aktif dalam bidang pembinaan, ia masih ada kena-mengena dengan industri kerana saya menggunakan kemampuan dan pengalaman untuk menambah baik auditorium dan lokasi acara.

"Mujur saya ada pengalaman dalam bidang ini. Namun bagaimana pula dengan pekerja lain? Tentunya situasi ini perlu difikirkan penyelesaiannya," katanya.

Melihatkan situasi angka jangkitan baharu Covid-19 yang sedia ada makin meningkat, Shirazdeen tidak menafikan sekiranya krisis ini berlanjutan dalam masa lebih lama.

"Kalau kita lihat semula, hampir seluruh negara kini berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Jadi, secara peribadi saya jangkakan bahawa ia akan terus berpanjangan sekurang-kurangnya hingga enam bulan lagi," katanya.

Menurutnya, diharapkan krisis pandemik ini dapat diselesaikan segera dan pihak terbabit perlu juga mencari alternatif lain yang efektif bagi membantu menampung ekosistem industri acara langsung termasuk industri seni tanah air yang kini banyak aktiviti tergendala.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 21, 2021 @ 6:18am
    d