rap

Roy masih dirawat di ICU

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Penyanyi, Roy atau nama sebenarnya Mohammad Rauzan Alwi, 57, masih lagi mengalami sesak nafas dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sungai Buloh selepas dipindahkan ke unit itu pada Selasa lalu.

Isterinya, Haslinda Abd Rahman, 56, ketika dihubungi berkata, dia hanya mampu menantikan berita daripada pihak hospital.

"Saya pun tak dapat nak menghubungi dia secara terus kerana suami masih lagi dirawat di ICU. Jadi, saya hanya mampu menunggu apa-apa berita daripada pihak hospital," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Haslinda, dia bersama dua anaknya ketika ini masih lagi menjalani kuarantin di rumah secara sendiri.

"Saya bersama anak-anak kini menjalani kuarantin di rumah. Kami dah jalani ujian 'swab' (calitan), namun belum menerima sebarang keputusan ujian. Selain itu, ada beberapa simptom seperti demam, mula kami alami," katanya.

Terdahulu, Roy dimasukkan ke Hospital Banting tengah malam Sabtu lalu akibat sesak nafas.

Dia mulanya ke klinik swasta untuk mendapatkan rawatan tetapi dirujuk ke hospital oleh doktor. Hasil pemeriksaan, doktor mendapati terdapat jangkitan kuman pada paru-paru.

Roy yang turut menjalani ujian saringan Covid-19 di hospital berkenaan, bagaimanapun disahkan positif virus itu.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: January 28, 2021 @ 4:16pm
    d