rap

Enggan tunda majlis kahwin

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PENYANYI Ernie Zakri sebolehnya tidak mahu menunda majlis pernikahan dan perkahwinan yang sudah dirancang tahun ini dengan tunangnya yang juga penyanyi, Syamel.

Bagaimanapun, penyanyi lagu Boneka itu berkata, dia dan Syamel akur dengan situasi pandemik Covid-19 selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 13 Januari lalu.

Enggan memperincikan dengan tepat bila mereka akan disatukan sebagai pasangan suami isteri, finalis Anugerah Juara Lagu ke 35 (AJL 35) menerusi lagu Gundah itu hanya berharap segalanya dipermudah.

"Setakat ini baik saya dan Syamel, belum terfikir untuk menangguh majlis kahwin kami biarpun tahu keadaan semasa pandemik di negara kita.

"Sebolehnya kami tak mahu menunda majlis kahwin. Apa saja yang dirancang kelak kena betul betul mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Persiapan kahwin pun hampir siap sebenarnya. Memang tak mahu lengahkan hari bahagia kami. Cuma dalam perkara ini, kita hanya merancang, Tuhan menentukan. Apa saja boleh terjadi menjelang detik yang dinanti. Sebab itu saya sendiri tak boleh beritahu dulu apa yang dirancang," katanya.

Dalam masa sama, Ernie mengakui bimbang dengan kes pandemik ini yang meningkat naik hampir setiap hari.

"Situasi tak terjangka ini juga antara penyebab yang menyukarkan saya untuk memberi pengesahan tepat mengenai hari bahagia kami. Bukan nak main tarik tali atau apa sekalipun, cuma apa saja kemungkinan boleh terjadi," katanya.

Ernie berkata, mengadakan majlis secara besar besaran di saat kemelut melanda dunia dan negara ketika ini bukan sesuatu yang perlu diutamakan.

"Sekarang pun masih PKP. Jadi hari bahagia kami nanti, dapat raikan bersama keluarga, sanak saudara dan teman rapat dikira memadai.

"Cukup dianjurkan majlis nanti dengan skala kecil kecilan membabitkan keluarga masing masing. Malah saya dan Syamel masih nak mempertimbangkan senarai tetamu lain yang mahu dijemput.

"Tak mahulah pula nanti, situasi semasa dan andai kes menurun, majlis yang kami rancang itu nanti pula dianggap penyebab kepada hal tak diingini. Minta simpanglah semua itu,

" katanya.

Ernie yang bertunang dengan Syamel pada 16 Ogos tahun lalu turut menjelaskan yang kesediaannya membeli rumah baharu bukan sebagai alasan mahu berkahwin semata mata

"Ia seperti dipermudahkan. Saya berjaya membeli rumah sendiri sebelum kahwin. Saya pernah mensasarkan untuk beli rumah pada usia 27 ke 28 tahun. Alhamdulillah saya berjaya mencapainya

"Kini saya sudah berusia 28 tahun dan bakal mendirikan rumah tangga. Semua bagai tersusan cantik dan tepat seperti yang dirancang," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 2, 2021 @ 6:30am
    d