rap

'Tersangkut' di Ipoh tiga minggu, pelakon dan kru drama Angkara Cinta kini ibarat keluarga

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Kuala Lumpur :Pelakon dan kru penggambaran drama Angkara Cinta yang kini 'tersangkut' di Ipoh, Perak sejak tiga minggu lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kini ibarat satu keluarga apabila melakukan pelbagai aktiviti bersama di hotel penginapan mereka.

Salah seorang pelakonnya, Hun Haqeem berkata, mereka bersyukur apabila diberi perkhidmatan yang baik oleh pengurusan hotel termasuk membenarkan mereka menggunakan 'ballroom' untuk melakukan aktiviti santai.

"Mereka faham perasaan kami yang terkandas di sini. Bagi menghilangkan kebosanan, kami bermain badminton dalam 'ballroom' itu.

"Sejak tidak boleh buat penggambaran, masing-masing tak boleh balik dan semua ingatkan keluarga. Tapi nasib baik kami satu pasukan sudah seperti keluarga. Jadi, kami buat aktiviti yang boleh dijalankan bersama-sama. Boleh dikatakan memang sentiasa luangkan masa bersama.

"Walaupun jauh dari rumah, tapi kami di sini ibarat ada rumah baharu. Kami pergi membeli barang keperluan dan makanan dan keperluan bersama. Untuk isi aktiviti sebelah malam, kami main badminton menggunakan apa saja peralatan yang ada. Nak jalan-jalan pun tidak boleh," katanya.

Hun berkata, dia berada di Ipoh beberapa hari sebelum pelaksanaan PKP pada 13 Januari lalu bagi menjalani penggambaran drama itu.

"Kami datang ke Ipoh sebab ketika itu di sini masih okay. Selepas beberapa hari menjalani penggambaran, Perak pula diumumkan PKP, jadi kami terus tersangkut di sini.

"Kami masih mengharapkan keadaan akan baik dan boleh menjalani penggambaran. Kami pun masih menunggu arahan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Nak balik ke Kuala Lumpur pun tak boleh buat penggambaran, jadi duduk di sini dulu," katanya.

Hun yang popular dengan watak Jakfer dalam drama bersiri Kampung People berharap ada khabar gembira buat seluruh penggiat seni tempatan supaya mereka dapat meneruskan penggambaran.

Hun juga mahu semua pihak lebih bertanggungjawab dengan mematuhi arahan kerajaan dan tidak melakukan penggambaran secara rahsia.

"Kalau ada yang menjalani penggambaran secara senyap, tak tahu nak cakap apa. Bagi saya tanggungjawab itu penting sebab kerajaan sudah bagi arahan, jadi kena akur.

"Apa yang dilaksanakan mungkin ini terbaik untuk semua. Kiranya kita kena bekerjasama untuk hentikan penularan wabak ini. Seperti di sekolah, jika cikgu cakap jangan ponteng, janganlah ponteng. Kalau buat juga tak boleh nak cakap apalah. Jadi berbalik kepada tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 4:30pm
    d