rap

Fikry Ibrahim lega salun rambut dah boleh buka

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim meluahkan rasa lega apabila salun rambut muslimah yang diusahakan di Putrajaya sudah kembali beroperasi sejak semalam.

Fikry berkata, kebenaran yang diberikan kerajaan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang kepadanya untuk kembali menjana pendapatan.

"Jujur dalam situasi sekarang bukan mudah untuk saya pertahankan perniagaan yang baru dibuka tidak sampai setahun ini.

"Saya mengalami kerugian yang teruk sejak PKP fasa pertama lagi, tapi saya anggap apa yang berlaku ini satu dugaan. Saya tak nak mengeluh sebab saya perlu pastikan salun ini terus beroperasi kerana saya ada dua pekerja yang perlu saya jaga kebajikan mereka. Mereka bergantung harap dengan saya sekarang ini.

"Saya ingin ucapkan terima kepada kerajaan kerana membenarkan salun ini kembali beroperasi. Alhamdulillah kami menerima permintaan yang positif daripada pelanggan sejak kembali dibuka," katanya.

Menurut Fikry, salun Dashing Diva Putrajaya yang diusahakan mengikut segala prosedur operasi standard (SOP) ketat yang ditetapkan kerajaan.

"Saya sentiasa memantau pekerja saya supaya menjaga SOP yang sudah ditetapkan dan pastikan setiap pelanggan yang datang mengimbas kod MySejahtera. Kami juga hanya melayan pelanggan yang membuat temujanji saja. Dalam keadaan sekarang, kita tidak boleh mementingkan diri sendiri. Kita perlu bersatu dalam menangani penularan Covid-19," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 6, 2021 @ 4:43pm
    d