rap

SOP penggambaran tak kena gaya

Oleh Norhayati Nordin

Kuala Lumpur: Penerbit Country Universal Sdn Bhd, Jalena Rejab meminta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) tampil memberi penjelasan berhubung prosedur operasi standard (SOP) kebenaran membuat penggambaran semula yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) semalam kerana ada perkara tidak jelas daripada pemahamannya sebagai penerbit drama.

Ini berikutan kebenaran itu hanya bersesuaian untuk penggambaran di dalam studio.

"Saya gembira apabila dapat berita memaklumkan aktiviti penggambaran sudah dibenarkan semula. Namun, apabila meneliti SOP dikeluarkan itu, saya tidak jelas kerana dari pemahaman sendiri, ia kebenaran penggambaran di dalam studio.

"Pada saya SOP ini kurang sesuai kerana penggambaran dalam studio seperti babak di hospital, kita boleh buat sebab ada banyak. Namun, untuk babak dalam rumah, nampaknya kami perlukan homestay yang sesuai dengan babak nak dilakonkan.

"Ini kerana ketika ini nak buat penggambaran di rumah orang pun sukar untuk dapatkan kebenaran. Jadi, takkan kami nak buat di studio guna skrin hijau atau CGI (Imej Janaan Komputer) untuk gambaran suasana rumah. Memang kelakarlah nanti dan ia pasti menjadi bahan kecaman dan kritikan netizen kerana warganet sangat teliti dari segi segala sudut babak dalam drama yang mereka tonton," katanya kepada Harian Metro.

Menurut Jalena, apa yang diketahuinya penggambaran dalam studio yang lengkap hanya ada di Pinewood Studios, Johor dan sudah pastilah lokasinya jauh dari Kuala Lumpur.

"Kita yang menjalankan penggambaran drama, telefilem mahu pun filem di Malaysia ini bukan seperti di Hollywood. Jika di sana memang bolehlah ikut SOP ini kerana semua aktiviti penggambarannya dibuat dalam satu kawasan studio yang luas.

"Kawasan rumah ada, restoran ada, kedai-kedai ada termasuk kawasan perkuburan. Negara kita masih kurang studio dan takkan semua produksi kena tumpu pada satu studio Pinewood itu sahaja," katanya.

Menurut Jalena, dia berharap pihak Finas akan tampil memberi penjelasan kepada semua wakil produksi mengenai mekanisma SOP kebenaran penggambaran yang dikeluarkan MKN itu.

Katanya, pencerahan yang jelas penting kerana produksi dan pekerja belakang tabir ramai yang terjejas teruk akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana sejak 13 Januari lalu.

"Penggiat seni kreatif seperti kami perlukan kelonggaran untuk bekerja menghasilkan produk seni. Kami ini mengikut konsep, ada kerja ada gaji. Malah, kami juga tak boleh tumpu pada penggambaran 'indoor' sahaja kerana ada juga babak 'outdoor' yang perlu dibuat.

"Saya lebih selesa dengan SOP sebelum ini kerana sangat jelas dan kami tiada masalah untuk mengikut segala langkah serta peraturan yang ditetapkan.

Jalena berkata, buat masa ini, syarikatnya belum lagi merancang untuk memulakan penggambaran dan memilih menunggu pengumuman baharu sehingga 18 Februari ini sebelum sebarang keputusan dibuat.

Semalam, MKN mengeluarkan SOP untuk enam aktiviti pembangunan kandungan kreatif dibenarkan iaitu produksi animasi dan muzik, pasca-produksi di studio, pembangunan muzik secara digital, rakaman lagu di studio, pra-produksi penggambaran dan penggambaran di studio.

Aktiviti penggambaran di studio merangkumi drama, telefilem, iklan, dokumentari, sitkom, penstriman secara langsung, rakaman kebudayaan, seni dan warisan tanpa penonton.

Bagaimanapun, semua aktiviti itu tidak dibenarkan beroperasi di kawasan yang berada di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

SOP itu juga hadir bersama tindakan yang perlu dipatuhi oleh mereka terbabit antaranya, protokol kawalan dan pencegahan penyakit, pemeriksaan suhu badan, penggunaan aplikasi MySejahtera, pembersihan dan nyahkuman premis dan penjarakan fizikal.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: February 9, 2021 @ 8:33pm
    d