rap

'Kami patuh SOP' [METROTV]

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Putrajaya: "Segala kerja yang saya lakukan sudah dirancang awal sebulan atau lebih. Keputusan berkenaan kerja bukanlah dibuat secara spontan."

Itu kata pengacara dan pelakon popular, Neelofa, 32, mengenai dakwaan mengatakan dia bersama suami, Haris Ismail atau PU Riz menggunakan alasan kerja di sebalik tujuan sebenar berbulan madu ke Langkawi seperti yang tular di media sosial sejak minggu lalu.

Neelofa berkata, dia dan suami ke Langkawi memang atas urusan kerja dan semuanya ada mendapat kebenaran polis.

"Saya ingin menyelesaikan semua perkara berkaitan kerja sebelum Ramadan ini. Syukur semuanya sudah berjaya dilunaskan. Sepanjang berada di sana, kami juga mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan," katanya.

Dalam pada itu, Neelofa juga sedia bekerjasama dengan polis berhubung siasatan mengenai majlis pernikahannya di sebuah hotel terkemuka di Kuala Lumpur pada 27 Mac lalu yang didakwa tidak mematuhi SOP.

"Saya sedia bekerjasama (dengan polis). Namun, saya minta diberikan ruang untuk saya bantu siasatan sama ada saya melakukan kesalahan atau tidak. Biar saya selesaikan secara baik dan tenang tanpa tekanan daripada mana-mana pihak.

"Saya 'respect' (hormat) semua orang (media) di sini nak tanya benda yang sama. Namun, saya juga nak minta kepada rakan media yang lama saya kenal untuk berikan ruang supaya saya boleh selesaikan hal ini secara profesional bersama dengan pihak yang berkenaan," katanya ketika ditemui di majlis kerjasama sandal Fipper dan aplikasi The Noor di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pasangan terbabit akan dikompaun jika siasatan polis mendapati kunjungan mereka ke Langkawi melanggar SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Dalam pada itu, kertas siasatan membabitkan kes pelanggaran SOP majlis pernikahan Neelofa dan PU Riz dijangka siap minggu ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah berkata, polis juga akan memanggil pasangan itu untuk dirakam keterangan bagi melengkapkan siasatan.

Sementara itu, berbicara mengenai kehidupannya barunya sebagai isteri, Neelofa berkata, semuanya dalam keadaan baik.

"Tak perlu ulas banyak-banyak benda itu. Semuanya baik," katanya.

Neelofa juga mengangkat ibu jari menunjukkan isyarat bagus apabila ditanya sama ada dia sudah memasak untuk suaminya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 5, 2021 @ 6:30pm
    d