rap

Finas bekukan pengeluaran SPP Khas

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) membekukan sementara pengeluaran Sijil Perakuan Penggambaran Filem Khas (SPP Khas) berkuat kuasa, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Ahmad Idham Ahmad Nadzri berkata, keputusan itu dibuat selaras langkah Majlis Keselamatan Negara (MKN) memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sedang berkuat kuasa.

Menurutnya, Finas bersedia untuk menerima sebarang keputusan daripada MKN.

"Kita semua sudah dimaklumkan akan ada yang diperketatkan, cuma kita belum tahu industri yang mana.

"Kami di Finas sudah bersiap sedia untuk memastikan SOP baru ini tidak menjejaskan industri kreatif," katanya.

Idham juga meminta pemain industri supaya menggunakan saluran yang betul bagi menyuarakan pendapat masing-masing selain di media sosial.

"Saya tak salahkan mana-mana pihak kerana dalam situasi sekarang, ramai yang panik. Kalau ada yang merungut, itu hak masing-masing.

"Saya ingin tegaskan, Finas tak pernah membuat polisi pintu tertutup atau tak pernah mendengar keluhan pemain industri.

"Namun, ramai yang suka menggunakan media sosial seperti Facebook dan Twitter. Dapat selesaikah masalah kalau luahkan di media sosial? Gunakan saluran yang betul seperti bercakap dengan persatuan, atau boleh hubungi Finas sendiri," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: May 22, 2021 @ 3:15pm
    d