rap

Kerjaya penyanyi makin 'malap'?

Oleh Najiy Jefri

Kuala Lumpur: Angkara Covid-19 yang menular sejak lebih setahun lalu, kerjaya sebagai penyanyi dilihat semakin 'malap' apabila tawaran persembahan semakin berkurangan dan boleh dikatakan hampir tidak ada!

Bagaimanapun, dugaan yang menimpa majoriti penyanyi tanah air ini tidak sesekali membuatkan mereka patah semangat, sebaliknya sentiasa berusaha mencari alternatif terbaik untuk kelangsungan hidup.

Rata-ratanya menggunakan platform media sosial sebagai peluang untuk mencari wang selain menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan.

Penyanyi Hazama berkata, disebabkan kerjaya nyanyian terpaksa dihentikan seketika, dia kini aktif di platform penstriman langsung, Bigo Live untuk menjana pendapatan tambahan setiap bulan.

"Dalam situasi sukar seperti ini, saya sudah tidak boleh terlalu memilih sebaliknya rebut saja peluang yang ada untuk menjana pendapatan.

"Alhamdulillah selain perniagaan asam laksa Pulau Pinang yang semakin berkembang dan mendapat permintaan tinggi di seluruh negara termasuk aplikasi Shopee, saya juga aktif di Bigo Live.

"Menerusi penstriman langsung itu saya dapat berinteraksi dengan peminat untuk berkongsi tips dan jatuh bangun sebagai penyanyi dalam industri muzik ini.

"Di samping itu juga saya menjadikan sesi siaran langsung itu dengan mencari bakat-bakat baru memandangkan ada kenalan yang meminta saya mendapatkan bakat muda untuk diketengahkan.

"Dalam keadaan sekarang ini saya terima saja tawaran yang boleh mendatangkan duit. Lebih baik buat sesuatu daripada tidak berbuat apa-apa. Walaupun bayaran yang diterima tidaklah banyak tapi dapatlah saya beli apa yang patut," katanya.

Menurut Hazama, dia mengakui wabak yang sudah melanda negara lebih setahun ini sedikit sebanyak mengganggu emosi mental dan fizikal.

"Disebabkan tawaran nyanyian sudah lama tiada dan konsert juga tidak dibenarkan, saya mula beralih ke kerjaya lakonan.

"Bagaimanapun apabila sudah lama tidak menyanyi saya mula perasan yang vokal suara sedikit terganggu.

"Namun kalau cakap dari sudut mental, sekarang ini kerjaya penyanyi memang tengah 'sakit'. Tapi saya bukan jenis suka duduk diam malah sentiasa nak rebut peluang yang ada.

"Saya terfikir bagaimana nasib kawan-kawan lain. Memanglah tertekan apabila mengenangkan apa yang berlaku ini tapi selagi ada kudrat kita usaha selagi termampu," katanya.

Sementara itu, Aina Abdul berkata, bayaran daripada YouTube yang diterima setiap bulan serta royalti daripada platform digital terpaksa digunakan untuk menampung kehidupan serta membayar komitmen.

"Sejujurnya pendapatan yang diterima ketika ini sangat berkurangan. Namun, saya bersyukur kerana dari dulu saya sudah aktif di saluran YouTube saya.

"Jadi saya dapatlah gaji bulanan daripada YouTube hasil lagu nyanyian semula yang saya buat setiap minggu. Tapi bayaran yang diterima tidaklah banyak kerana saya menyanyikan lagu orang lain.

"Kemudian saya juga terpaksa mengeluarkan duit royalti lagu saya yang selama ini tidak pernah dikeluarkan sebab saya anggap duit itu sebagai 'bank simpanan' saya.

"Namun saya terpaksa keluarkannya sebab sudah tiada pendapatan lain. Saya kena teruskan hidup serta perlu membayar gaji pengurus dan hutang yang perlu saya selesaikan," katanya yang turut menerima pendapatan daripada persembahan secara dalam talian.

Dalam pada itu, Bob Yusof pula menjual kek untuk menampung hidup sepanjang tiada tawaran persembahan.

"Selama ini saya hanya bergantung hidup dengan tawaran nyanyian saja. Tapi saya cuba cari cara lain untuk menampung kehidupan saya.

"Antaranya saya aktif buat kelas vokal secara dalam talian selain menjalankan perniagaan kek butter. "Alhamdulillah sedikit sebanyak dapatlah menampung kehidupan dan meneruskan hari-hari mendatang. Saya juga bersyukur kawasan kejiranan saya ini sangat menyokong dan mereka juga turut berniaga. Jadi kami saling bantu-membantu," katanya.

Menurut Bob, dia juga menyeru kepada pihak-pihak bertanggungjawab serta stesen televisyen untuk menyediakan peluang kepada penyanyi untuk membuat persembahan dari rumah sebagai salah satu usaha membantu penyanyi tanah air yang terjejas akibat wabak Covid-19 ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 7:19pm
    d