rap

Langganan percuma iQiyi untuk rakyat yang sudah divaksin

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kuala Lumpur: Peneraju penstriman hiburan Asia, iQiyi bekerjasama dengan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) dengan menganjurkan program iQiyi Bersama Rakyat Malaysia.

Program yang bertujuan untuk memperkasakan usaha imunisasi dalam menyokong agenda Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) itu akan menyediakan lebih 3,000 kandungan Asia percuma buat rakyat Malaysia yang mendapat suntikan vaksin Covid-19.

Pengurus Besar iQiyi Malaysia, Singapura dan Brunei, Dinesh Ratnam berkata, usaha mereka adalah sebagai tanda penghargaan dan bertujuan untuk menghiburkan masyarakat dalam situasi pandemik ketika ini.

"Kami tahu betapa sukarnya bagi seluruh rakyat Malaysia. Kami sangat berbesar hati kerana diberi peluang untuk bekerjasama dengan CITF dengan menghadiahkan langganan percuma kepada rakyat Malaysia yang sudah menerima vaksin Covid-19.

"Kami ingin menghiburkan orang ramai dengan kandungan hebat Asia ketika mereka berada di rumah seterusnya menjadikan masa yang diluangkan sepanjang PKP 3.0 terasa lebih seronok dan tidak membosankan," katanya.

Empat langkah untuk mengaktifkan kod baucer iQiyi ialah pertama dengan log masuk di iq.com/vip/codekey. Kemudian daftar atau log masuk ke akaun iQiyi anda sebelum masukkan kod baucer yang disediakan. Selepas itu anda boleh menikmati filem atau drama kegemaran anda tanpa had.

Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama antara kerajaan dan swasta mengukuhkan lagi proses untuk membendung penyebaran Covid-19.

"Aspek penting bagi membendung penyebaran Covid-19 adalah kerjasama. Gandingan padu pihak kerajaan dan swasta dapat menyebarkan mesej yang kuat dan jelas bahawa semua pihak memainkan peranan dalam mencegah penyebaran Covid-19 dan mempromosi kesedaran awam mengenai vaksin Covid-19," katanya.

Kerjasama antara iQiyi dengan CITF ini melunaskan langganan VIP iQiyi bernilai RM1.5 juta kepada orang ramai di seluruh negara yang sudah divaksin.

PICK mensasarkan pencapaian 70 hingga 80 peratus imuniti kelompok pada penghujung tahun ini.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Disiarkan pada: July 2, 2021 @ 7:27pm
    d