rap

Duit cukup untuk makan anak, isteri saja

Oleh Najiy Jefri

 

Kuala Lumpur: Pengurus produksi, Jamal Mohd Salleh mengakui menerima pelbagai keluhan daripada pekerja produksi yang kehabisan duit susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Jamal berkata, kebanyakan pekerja produksi memaklumkan duit simpanan yang dimiliki hanya dapat menampung untuk membeli makanan saja.

"Ramai pekerja produksi menghubungi saya dan memberitahu duit mereka semakin 'susut' dengan hanya mampu membeli makanan untuk keluarga saja. 

"Lebih menyedihkan mereka juga 'sangkut' nak bayar bil elektrik, air serta bayaran bulanan rumah dan kereta.

"Mereka kini lebih utamakan makanan anak dan isteri. Lagipun kami bukan menerima gaji bulanan, arahan PKP ini datang pun secara tiba-tiba jadi proses penggambaran pun tertangguh. Apabila sudah tertangguh bayaran penuh tidak dapat dilunaskan oleh pihak penerbit," katanya. 

Menurut Jamal, meskipun ada pihak produksi tampil memberikan bantuan barangan keperluaan secara 'one-off', namun ia tidak dapat menampung selama tempoh PKP dan PKPD dilaksanakan. 

"Tidak dinafikan ada penerbit yang sudi tampil menghulurkan bantuan dengan memberi barangan keperluan, tapi untuk menampung selama PKP dan PKPD ini memang tak cukup. 

"Nak harapkan duit simpanan, lama-lama akan habis juga sementara menunggu proses penggambaran kembali beroperasi. 

"Bagaimanapun, saya dan pekerja produksi yang lain menerima dugaan ini dengan reda dan tidak putus berdoa agar semuanya kembali pulih dengan segera," katanya. 

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: July 5, 2021 @ 9:01pm
    d