rap

Skrip 'jujur' berdasar realiti

Oleh Sudirman Mohd Tahir

Drama bersiri Lockdown memaparkan mengenai pelbagai ragam dan kisah suka duka rakyat Malaysia untuk meneruskan kehidupan harian dalam norma baharu sepanjang pelaksanaan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

Drama terbitan syarikat produksi U2 Media Sdn Bhd itu mengandungi lapan cerita berbeza bakal dipersembahkan menerusi paparan 10 episod yang diinspirasikan daripada latar sebenar kisah realiti berkenaan situasi sukar yang perlu diharungi segenap masyarakat sejak diuji dengan penularan Covid-19.

Cerita asal dan skrip drama ini diilhamkan oleh pengarah terkenal Erma Fatima serta mendapat sentuhan Mohd Fazli Yahya yang memikul tanggungjawab selaku pengarah.

Lockdown menampilkan 23 barisan pelakon handalan antaranya Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Amerul Affendi, Hasnul Rahmat, Jalil Hamid, Azizah Mahzan, Liza Abdullah, Balkisyh Semundur Khan dan ramai lagi.

Erma berkata, dia berbesar hati dan gembira dengan komitmen penuh yang diberikan setiap pelakon.

"Karya ini menghimpunkan nama-nama popular dalam sebuah drama. Ia bukan sesuatu yang mudah lebih-lebih lagi ketika pandemik, namun pengalaman itu amat menyeronokkan buat saya. Keserasian yang terjalin di antara mereka sebagai pelakon juga memudahkan urusan pasukan produksi sewaktu di set penggambaran.

"Sebagai penulis skrip untuk drama ini, saya mendapat ilham selepas melihat keadaan sekeliling yang berlaku, melihat kesannya kepada kawan-kawan dan mungkin kita sendiri turut melaluinya. Kita semua sama-sama melalui proses PKP. Jadi kita tahu dan faham kesakitan tersebut selepas mengikuti berita-berita yang dilaporkan. Itu yang mendorong saya untuk menulis skrip tersebut," katanya.

Menurut Erma, skrip yang dihasilkan itu adalah jujur dan berlandaskan realiti.

"Saya juga percaya skrip yang baik ialah skrip yang jujur, perlu berlandas realiti, bukan fiksyen. Itu yang saya tengok depan mata saya. Setiap hari saya akan buat skrip. Satu hari apa yang perlu kami 'shoot', itulah yang akan siap. Itu kebiasaan saya.

"Drama yang dihasilkan ini cukup dekat dengan jiwa masyarakat kerana kita sama-sama mempunyai pengalaman dalam mengharungi PKP. Penceritaan setiap kisah yang dipersembahkan menggambarkan situasi sebenar mengenai apa yang benar-benar berlaku dalam realiti kehidupan. Mungkin ada di antara penonton yang dapat 'melihat' diri mereka sendiri dalam cerita ini," katanya.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Kamal, berkata, kisah yang dipaparkan dalam drama Lockdown tidak asing kepada penonton kerana sering dikongsikan di laman media sosial serta turut mendapat liputan meluas di media massa.

"Pengalaman mengharungi pelbagai fasa PKP sejak ia mula dilaksanakan pada 18 Mac tahun lalu dan berlanjutan sehingga kini banyak membawa perubahan drastik dalam resam kehidupan rakyat Malaysia khususnya dengan cara yang tidak pernah kita bayangkan sama sekali sebelum ini.

"Dalam tempoh lebih setahun mematuhi PKP, pasti ramai yang terkesan dengan persekitaran norma baharu yang diperkenalkan.

Pastinya, tahun 2020 dan 2021 adalah tahun yang cukup sukar untuk kita semua tempuhi bersama.

"Drama ini padat dengan mesej bermakna jika dipandang daripada sudut yang positif. Sungguhpun sarat dengan pengisian berat, namun drama ini diolah dengan pendekatan yang santai dan menghiburkan. Oleh itu ia amat sesuai untuk ditonton oleh seisi keluarga," katanya.

Lockdown bakal disiarkan bermula 26 Julai ini pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 11 malam secara eksklusif di saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan platform On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Disiarkan pada: July 24, 2021 @ 6:30am
d