rencana

Artis istimewa ke?

Oleh Sudirman Mohd Tahir

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilanjutkan sehingga 14 April ini mendorong kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin).

Seperti semua sedia maklum, inti pati pakej Prihatin yang peduli rakyat itu menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban semua dengan tiada golongan yang akan tercicir termasuk artis, penyanyi dan karyawan yang tergolong dalam segmen B40.

Ini secara jelas sesiapa saja anak seni atau pekerja belakang tabir yang berstatus tetap, kontrak atau freelance jika tergolong dalam B40 itu layak untuk mendapat bantuan.

Dalam bahasa mudah jika memerlukan, mohonlah. Sekiranya berasakan sumber kewangan mencukupi bagi menanggung keluarga, bersyukur pada Tuhan.

Namun, kekecohan berlaku membabitkan netizen apabila terdapat kenyataan daripada beberapa artis yang seolah-olah mahukan kerajaan memberikan ‘bantuan khusus’.

Berang dan tidak puas hati dengan kenyataan itu, segenap media sosial dipenuhi status kecaman terhadap artis terbabit.

Malah, ruangan komen artis itu dibanjiri dengan kata-kata yang meminta mereka sedar diri.

Malah, netizen tidak duduk diam apabila dengan gigih menyelongkar setiap inci kehidupan dan kemewahan dimiliki bagi tatapan seluruh rakyat Malaysia berkenaan siapa sebenarnya mereka hingga sanggup meraih simpati.

Tidak cukup dengan itu, beberapa cadangan dikemukakan Persatuan Seniman buat penggiat seni juga dilihat bagai menambah bara tersimpan.

Permintaan yang dianggap tidak masuk akal seperti hanya mahu melepaskan tekak sendiri tanpa mempedulikan golongan lain yang lebih pedih.

Namun, enggan diri terus dicaci maki hingga menyentuh isu sensitif, peribadi dan maruah keluarga dicintai, mereka tampil menjelaskan kenyataan diberikan sudah disalah erti.

Perkara itu mungkin agak terlambat kerana amarah netizen bagaikan tidak boleh dibendung lagi. Semakin artis cuba bersuara, mereka tetap dianggap salah.

Ibaratnya ketika ini, netizen adalah raja yang berhak memutuskan segala perkara. Konsep mereka mudah, tidak ada apa yang istimewa pada penggiat seni kita. Malah ada yang berkata siapa suruh menjadi artis sebagai kerjaya.

Akhirnya, langkah terbaik adalah meminta maaf secara terbuka. Walaupun niat asal bersuara adalah buat golongan yang kurang berkemampuan daripada mereka, memohon kemaafan itu cara paling mulia.

Seperkara yang jelas di sini adalah golongan anak artis dan penggiat seni sendiri masih tidak bersatu hati. Buktinya, dalam pada rakan mereka ditembak bertubi-tubi, ada pula yang mengambil kesempatan memuat naik kenyataan memperli dan menyindir hanya kerana ingin dilihat suci.

Sudah-sudahlah saling menyalahkan. Sebaiknya saling mengingatkan dan bukan nak tunjuk kehebatan sedangkan diri sendiri juga adalah ‘hero wayang’.

Kepada ‘Yang Budiman Netizen’, berhenti mendoakan keburukan. Jika betul tidak senang dengan tindakan, belajar menghormati maksud kemanusiaan dan hati perasaan. Cuba berada di posisi mereka, apa anda akan lakukan?

Apa pun, PKP ini sudah berjaya menonjolkan sisi sebenar siapa kita. Nampaknya duduk di rumah bukan saja ikut arahan, tapi lebih lincah untuk saling menjatuhkan.

Kita semua rakyat Malaysia. Janganlah bergaduh sesama kita. Anda mahu bantuan, kerajaan sudah sediakan. Jangan berlebihan dan ingat kehidupan mendatang.

Penulis wartawan hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: April 2, 2020 @ 7:00am
    d