rencana

Gaji dibiar tergantung

Oleh Norhayati Nordin

TERASA pantasnya masa berlalu, Ramadan pun sudah hampir dua minggu dijalani umat Islam di negara ini. Begitu juga, sudah lebih sebulan kebanyakan rakyat Malaysia berkurung di rumah kerana pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dan kelmarin kerajaan memberi kelonggaran dengan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), tetapi masih banyak aktiviti tidak dibenarkan termasuk perjalanan merentas negeri atau pulang ke kampung.

Pandemik Covid-19 yang melanda seluruh dunia ini ternyata meninggalkan kesan amat besar dalam pelbagai sektor pekerjaan yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Berkaitan industri hiburan tanah air, pasti sentiasa tidak surut dengan isu. Lepas satu cerita sensasi, muncul lagi kisah baharu yang hangat, panas dan semestinya menarik perhatian banyak pihak terutama warganet.

Sesudah kisah rujuk dan hamil pelakon Bella Astillah bersama suami yang juga pelakon dan penyanyi Aliff Aziz, menyusul pula kisah pertunangan Ayda Jebat dan pengacara Nabil Mahir secara atas talian (online) yang mengundang pelbagai persepsi masyarakat.

Terbaru, yang pastinya masih 'panas' adalah berkaitan tuntutan bayaran oleh pengarah, pelakon dan kru produksi yang terbabit pementasan teater Korupsi Dewan Semandung terbitan produksi Ogy Ventures & Network milik pelakon yang mendapat jolokan primadona tanah air, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy.

Teater genre komedi seram arahan Khir Rahman ini dipentaskan pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu di Panggung Sari, Istana Budaya, Kuala Lumpur yang sepatutnya urusan pembayaran sudah selesai pada 16 Mac lalu yang menampilkan lakonan Joey Daud, Tauke Jambu, Mark Adam, Douglas Lim, Man Raja Lawak, Syura Badron, Azmi Caliph Buskers dan Che Mat Raja Lawak.

Bagaimanapun, hingga hari ini bayaran belum dilunaskan sepenuhnya.

Walaupun diingatkan supaya banyak bersabar ketika Ramadan, namun ia tidak termampu lagi. Bagi meneruskan kelangsungan hidup, akhirnya seorang demi seorang pelakon teater ini membuka mulut bercerita bagi meminta hak mereka.

Namun, sikap berdiam diri Ogy kini menimbulkan tanda tanya. Sama ada di dalam kumpulan WhatsApp diwujudkan termasuk tindakannya block semua orang di plaform media sosial.

Difahamkan, Ogy juga tidak menjawab panggilan, manakala mesej dikirim kepadanya tidak dibalas. Ia umpama dia hilang dari radar.

Apapun, sudah pasti setiap orang ada sebab masing-masing untuk bersuara menuntut bayaran mereka. Apatah lagi, kini pelbagai aktiviti hiburan terpaksa ditangguh sekurang-kurangnya setahun akibat Covid-19.

Jika ini berlaku, golongan seperti pengarah, pelakon dan kru produksi pastinya perlu menuju kepada penerbit untuk menuntut gaji mereka apabila urusan kerja dipertanggungjawabkan sudah selesai.

Bagi penerbit pula, walaupun 'tidak lari ke mana-mana' tetapi komunikasi dua hala perlu diteruskan.

Biarpun penerbit juga mungkin berhadapan masalah kewangan tetapi berdiam diri bukan tindakan wajar. Walaupun harus menjawab soalan sama iaitu mana bayaran saya? Bila akan dibayar? Berapa lama nak kena tunggu? persoalan itu jangan dibiar tergantung tanpa jawapan.

Pada situasi kini, perbincangan perlu dibuat untuk penjelasan dan mencari penyelesaian. Apatah lagi, banyak spekulasi kurang enak mula timbul dan ia tak bagus untuk perkembangan industri.

Apabila disebut wang, apa yang sering dipersoalkan ialah mengenai simpanan atau tabungan. Kenapa artis tak menyimpan? Waktu popular, duit habis ke mana? Sebenarnya simpan atau tidak bukan persoalan.

Jika ada tabungan pun dengan jumlah yang besar, tetapi jika asyik diguna, lama-lama habis juga. Umpama pepatah, bukit jika ditarah sikit-sikit, lama-lama akan rata juga.

Apapun, diharapkan semoga permasalahan yang berlaku untuk produksi teater Korupsi Dewan Semandung akan berakhir dengan penyelesaian terbaik. Hanya sesama mereka saja yang tahu rentetan cerita sebenar.

Memandangkan kini, kerajaan memberi kelonggaran menerusi PKPB, khabarnya ramai juga orang sudah keluar rumah dan mula mencari barangan untuk persiapan Aidilfitri.

Apapun tujuannya, perlu diingat rantaian Covid-19 yang cuba diputus ketika ini belum berjaya sepenuhnya lagi. Untuk itu, demi keselamatan teruskan saja duduk di rumah jika tiada urusan penting.

Jangan ingkar kerana kita pun sudah tahu yang Ramadan ini dan Aidilfitri nanti akan dirai mengikut normal baharu. Sentiasa mengamalkan penjarakan sosial dan utamakan penjagaan kebersihan.

Penulis Wartawan Hiburan Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Disiarkan pada: May 6, 2020 @ 6:59am
    d