rencana

Biar 'abang' belajar dulu

Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri

UCAPAN 'selamat kembali ke sekolah' biasanya didengari atau diucapkan ketika awal tahun di mana ia adalah tempoh pelajar sama ada di peringkat rendah atau menengah memulakan sesi baharu pembelajaran.

Selama bertahun-tahun, Januari adalah waktu yang tepat untuk mengucapkan frasa berkenaan.

Namun, siapa sangka pada 2020, ucapan berkenaan diulang sekali lagi pada Jun.

Pada 24 Jun lalu, sekolah kembali dibuka dengan kehadiran hanya di kalangan pelajar tingkatan 5 dan 6.

Ini kerana mereka ini akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan peperiksaan antarabangsa yang setara.

Selain Malaysia, beberapa negara lain juga mula membuka sekolah dengan bilangan pelajar yang terhad selain guru dan pelajar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan pihak berkuasa.

AFP melaporkan beberapa sekolah di China - negara yang pencetus virus ini - memulakan sesi persekolahan lebih awal.

Pada April lalu, sekolah di Beijing dan Shanghai dibuka namun, ia juga hanya mengehadkan penyertaan pelajar peringkat menengah atas sebab mereka perlu menduduki peperiksaan penting yang menentukan tempat di universiti.

Pada Mei pula, sekolah di Wuhan - bandar pertama virus ini dikesan - turut membuka sesi persekolahan sejak ia ditutup pada Januari lalu.

Ia juga hanya mengehadkan kehadiran pelajar senior yang memerlukan mereka mengamalkan penjarakan sosial dengan kedudukan meja dalam kelas berjarak satu meter.

Sehingga kini, tarikh pembukaan sekolah untuk pelajar peringkat rendah dan menengah masih belum diputuskan.

Pengimbas suhu badan juga diletakkan di pintu masuk sekolah dengan mereka yang mencatatkan suhu tinggi tidak dibenar hadir.

Berdasarkan laporan media tempatan, beberapa sekolah turut melaksanakan waktu ketibaan berperingkat untuk guru dan pelajar.

Namun, pada pertengahan bulan ini, sekolah di selatan Beijing terpaksa ditutup selepas perintah berkurung dikenakan akibat munculnya kluster baharu Covid-19 membabitkan pasar borong daging Xinfadi.

Berdasarkan ucapan Menteri Kanan (Pendidikan) Dr Mohd Radzi Md Jidin, sesi persekolahan bagi pelajar lain akan dibuka secara berperingkat.

Katanya, sesi pembelajaran di rumah akan diteruskan dan memandangkan guru juga sudah kembali ke sekolah, pendekatan pengajaran dan pembelajaran boleh dipelbagaikan dengan akses kepada kemudahan yang ada di sekolah.

Namun, mengikut undian yang dilakukan di laman sosial Harian Metro, baru-baru ini, rata-rata ibu bapa tidak bersetuju sekolah rendah dibuka pada September atau Oktober ini.

Ia dibuat berdasarkan cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya sekolah rendah dibuka pada hujung September atau Oktober ini.

Antara kebimbangan ibu bapa adalah anak-anak tidak faham mengenai penjarakan sosial dan mungkin berkongsi makanan dengan rakan-rakan - satu perkara yang digalakkan sebelum ini.

Namun, ada juga yang mahu sekolah dibuka lebih awal kerana menganggap kelas dalam talian tidak berkesan.

Dalam pada ibu bapa dilanda resah sekolah rendah belum dibuka, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pembukaan prasekolah dan tabika pada 1 Julai nanti.

Saya percaya jumlah pelajar yang tidak seramai di sekolah rendah memudahkan kawalan dan pemantauan dilakukan.

Malah, anak-anak ini juga mudah dilentur dan lebih takut 'suara singa' cikgu-cikgu.

Sebagai ibu yang mempunyai anak bersekolah rendah dan prasekolah, doa sajalah dapat dititipkan untuk keselamatan anak-anak ini.

Semoga urusan menuntut ilmu dipermudahkan dan ada dalam kalangan mereka muncul sebagai ilmuwan yang dapat menyumbang kepada pembangunan sains agar virus seperti Covid-19 ini tidak menyesakkan kita lagi.

Penulis Pengarang Berita Harian Metro

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: June 27, 2020 @ 7:45am
    d