rencana

Jangan biar dibolosi lagi

Oleh Mohd Zaini Othman

ANCAMAN keselamatan dan jenayah yang dibawa oleh pendatang tanpa izin (Pati) tidak boleh dipandang mudah kerana setiap daripada mereka mampu memberi risiko kepada rakyat di negara ini.

Sekadar membayangkan jika ada antara Pati ini terbabit dengan aktiviti tidak sihat di negara asal atau menjadi buruan pihak berkuasa di pelbagai negara dan bolos ke negara ini secara tidak sah kerana tidak perlu melalui 'tapisan' di pintu sempadan, apa yang terjadi?

Paling dkhuatiri apabila mereka bebas bergerak di dalam negara di dalam pelbagai sektor pekerjaan, membina penempatan dan komuniti sendiri, terlibat dalam kegiatan jenayah, malah yang lebih 'otai' mampu membina kartel jenayah tersendiri.

Pati tidak seharusnya dibiarkan bebas dalam negara ini kerana golongan ini menyumbang kepada statistik isu sosial dan jenayah di negara ini.

Lihatlah apabila kumpulan Pati ini sudah besar kepala, pihak berkuasa dan undang-undang negara bukan lagi sesuatu yang mampu menggerunkan mereka sekali gus menjadikan penduduk tempatan tidak selesa apabila terpaksa hidup bersama mereka.

Keadaan ini juga secara tidak langsung memberi kesan negatif kepada imej agensi penguatkuasa seperti Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Persepsi negatif rakyat terhadap keseriusan dan kemampuan pihak berkuasa untuk menangani Pati mungkin timbul kerana antaranya berpunca dari perbuatan nila setitik rosak susu sebelaga.

Ia dikaitkan dengan laporan media membabitkan kakitangan agensi penguat kuasa yang bersekongkol dengan kumpulan tertentu untuk membawa masuk dan melindungi Pati.

Mereka ini ibarat harapkan pegar, pegar makan padi dan amat wajarlah gesaan dari pelbagai pihak untuk mereka dijatuhkan hukuman yang berat di mahkamah.

Ketika pada diri mereka kita menyandarkan sepenuh kepercayaan untuk menjaga kedaulatan negara, tetapi akhirnya tangan-tangan mereka yang merenggut pengharapan itu, khianat membawa masuk dan melindungi Pati.

Dengan tertangkapnya segelintir kakitangan agensi penguatkuasaan yang menjadi 'gunting dalam lipatan' dalam memerangi Pati ini, ia sebenarnya menunjukkan bahawa agensi penguatkuasaan kita tidak pilih bulu dalam mengambil tindakan undang-undang.

Jika dilihat dari perspektif yang lebih meluas, Pati bukan membabitkan persoalan merentas sempadan secara haram semata-mata, ia sebenarnya turut menyumbang kepada konflik pemerdagangan manusia yang semakin membimbangkan di peringkat global kerana menurut Mohd Bakri (2010), dianggarkan hampir 2.5 juta manusia dari 127 negara sudah diperdagangkan di seluruh dunia.

Secara umumnya, hampir semua negara di dunia terbabit dengan isu pemerdagangan manusia.

Ia mungkin disebabkan kerana isu pemerdagangan manusia adalah isu rentas sempadan, maka banyak negara di dunia sama ada negara maju atau membangun tidak terlepas daripada menghadapi isu ini.

Kemakmuran Malaysia di samping pertumbuhan ekonominya yang pesat membangun menjadi 'ubat pelaris' mengapa negara ini menjadi negara destinasi kepada warga asing untuk merantau ke sini sebagai Pati.

Lihat apa yang berlaku di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang sebagai contoh, hampir 20 tahun lamanya pasar ini dikuasai oleh pendatang asing sebagai pekerja dan peniaga dengan sebahagiannya adalah Pati.

Hikmah Malaysia dilanda Covid-19 dan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berjaya 'menghijaukan' kembali Pasar Borong Kuala Lumpur dari pekerja asing dan Pati sekali gus membuka peluang kepada anak tempatan untuk mencari rezeki di situ.

Penulis memuji pelaksanaan Op Benteng di bawah National Task Force yang diterajui secara bersama oleh ATM, PDRM dan Maritim Malaysia untuk mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi Pati bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

Memfokuskan kawalan kemasukan ke atas orang ramai yang keluar masuk melalui sempadan Malaysia sama ada melalui laluan sah mahupun jalan tikus, Op Benteng memperlihatkan kesan yang amat baik dalam menggempur Pati di seluruh negara.

Isu melibatkan Pati tidak boleh dibiarkan daripada terus menjadi barah kepada Malaysia kerana ia akan membawa pelbagai kesan negatif khususnya merencatkan pembangunan negara ini dari aspek politik, ekonomi dan sosial.

Melalui pemerhatian penulis, kerajaan Malaysia komited melaksanakan pelbagai langkah efektif untuk menangani masalah Pati. Pada masa sama, kita sebagai rakyat juga perlu bertanggungjawab memberi respon yang positif melalui mempunyai kesedaran serta tanggungjawab sosial untuk bersama-sama membantu pihak kerajaan dan agensi penguatkuasa dalam menangani isu Pati.

Timbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM serta Exco Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS) USIM

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Disiarkan pada: July 2, 2020 @ 7:45am
    d